Terima kasih lanjut subsidi upah di bawah Kita Prihatin, kata kumpulan pekerja

Terima kasih lanjut subsidi upah di bawah Kita Prihatin, kata kumpulan pekerja

Tetapi, kerajaan digesa melakukan pemantauan lebih ketat bagi mengelakkan penyalahgunaan dana Program Subsidi Upah.

Program Subsidi Upah ialah alat berkesan untuk membantu pekerja B40 dan M40 mengekalkan pekerjaan mereka serta terus menyara keluarga.
PETALING JAYA:
Kumpulan pekerja mengucapkan terima kasih kepada pakej rangsangan ekonomi Kita Prihatin yang diperkenalkan kerajaan pimpinan Perikatan Nasional kerana ia meringankan beban kewangan mereka pada masa sukar akibat pandemik Covid-19.

Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja Bank (NUBE), J Solomon berkata, Program Subsidi Upah (PSU) ialah alat berkesan untuk membantu pekerja B40 dan M40 mengekalkan pekerjaan mereka serta terus menyara keluarga.

Ini kerana, katanya, sesetengah bank memutuskan untuk mengurangkan tenaga kerja mereka atas alasan pandemik dan arahan kerja dari rumah.

Pada masa sama, beliau berkata, kos sara hidup untuk keluarga di kawasan dikenakan perintah kawalan pergerakan bersyarat meningkat kerana perbelanjaan lebih besar ke atas makanan, bil utiliti dan barang keperluan Covid-19 seperti pelitup muka dan pensanitasi.

“Kita Prihatin penting dan perlu dikekalkan sehingga pandemik berakhir serta program pelancaran vaksin negara dilaksanakan dengan berkesan.

“Pasangan suami isteri atau ibu bapa ramai pekerja dalam institusi kewangan hilang pekerjaan mereka atau berdepan potongan gaji. Oleh itu, subsidi dan bantuan ‘one-off’ kerajaan memang membantu pekerja ini,” katanya kepada FMT.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Pekerja Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB), Abdul Razak Md Hassan berkata, PSU membolehkan syarikat membayar pekerja mereka seperti biasa, tanpa perlu memberhentikan pekerja.

Katanya, pendapatan KTMB merosot disebabkan pengurangan jumlah pengguna komuter awam kerana bimbang dijangkiti virus, yang seterusnya menyebabkan ia lebih sukar membayar gaji pekerja.

“Pakej ini membantu majikan dan pekerja yang berdepan masalah akibat PKP, serta dapat meringankan beberapa beban kewangan mereka. Saya akan katakan kerajaan melakukan langkah terbaik untuk rakyat.”

Timbalan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd Effendy Abdul Ghani meramalkan lebih banyak syarikat akan bergelut atau tutup kedai tanpa tambahan RM600 untuk pekerja selama 3 bulan lagi.

“Putrajaya melaksanakan PSU2.0 tepat pada masanya kerana ramai majikan yang bergelut selepas 8 bulan PKP. Dengan adanya, mereka boleh mengelakkan pemberhentian pekerja atau pemotongan gaji.”

Bagaimanapun, Effendy berkata, ada kemungkinan majikan mengambil kesempatan daripada PSU, oleh itu beliau menggesa prosedur lebih ketat untuk memastikan pekerja mendapat manfaat sebaiknya daripada inisiatif kerajaan.

Solomon turut menggesa pemantauan lebih ketat untuk PSU bagi mengelakkan penyalahgunaan dana subsidi upah.

“Perlu ada penelitian lebih baik untuk memastikan dana itu diberikan kepada pekerja yang layak dan digunakan untuk tujuan membayar gaji, bukannya perkara lain.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.