
Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata kebenaran perjalanan dibenarkan bagi penduduk di kawasan hijau ke destinasi di kawasan hijau.
Perjalanan yang perlu memasuki kawasan merah perlu mendapatkan kebenaran pihak berkuasa.
“Sebagai contoh, Negeri Sembilan zon merah, kecuali daerah Tampin. Jadi kita membenarkan mereka yang berada di Tampin mahu ke Pahang. Tetapi kerana perlu melalui zon merah, mereka mesti mendapatkan kebenaran daripada polis.
“Mereka juga tidak dibenarkan singgah di zon merah semasa perjalanan, sebaliknya perlu terus menuju ke destinasi di kawasan hijau,” katanya pada sidang media hari ini.
Kebenaran gelembung perjalanan domestik ini merangkumi 4 kategori kumpulan yang dibenarkan, antaranya:
- Pergerakan rentas daerah di negeri hijau. Dibenarkan tanpa perlu kebenaran polis.
- Pergerakan rentas negeri antara negeri hijau. Dibenarkan tanpa perlu kebenaran polis.
- Pergerakan rentas negeri antara negeri hijau melalui negeri zon merah. Dibenarkan tetapi perlu kebenaran polis.
- Pergerakan rentas daerah atau negeri dari negeri hijau ke daerah hijau di negeri merah. Dibenarkan tetapi perlu kebenaran polis.
“SOP terperinci akan diumumkan Kementerian Pelancongan, Seni, Dan Budaya dalam masa terdekat,” katanya.
Ditanya tentang bahaya penipuan, Ismail berkata pihak yang ingin keluar dari kawasan PKPB perlu menunjukkan surat kebenaran polis.
“Bagi mereka di kawasan PKPB kita kawal pergerakan. Kalau nak masuk kawasan PKPP mesti ada surat kebenaran. Jadi tak timbul isu dalam kawasan PKPP ada orang dari PKPB,” katanya.
Negeri bawah PKPP dikategori negeri hijau sementara bawah PKPB dikategori sebagai negeri merah.
Sementara itu, KKM memutuskan empat kategori kawasan mengikut jangkitan kes dimana zon hijau (0 kes), zon kuning (1-20 kes), zon jingga (21-40 kes), dan zon merah (41 kes atau lebih).