
Dalam penghormatan di blognya, Mahathir yang merujuk rakannya sebagai Khalid Julong berkata pemergian bekas Adun itu menandakan berakhirnya generasi pejuang Melayu.
“Khalid, Azahari Taib, Khir Johari, Khir Pa’ Awang, Hj Taha, Chegu Senu dan lain-lain sudah tidak ada,” katanya.
“Tinggal saya seorang. Saya sedih. Semua mereka kawan lama. Saya kesunyian.”
Khalid meninggal dunia pada 5.50 pagi di Kedah Medical Centre semalam. Beliau berusia 98 tahun.
Seorang ahli politik veteran, Khalid ialah exco Kedah dan Adun Alor Merah dari 1975 hingga 1980.
Beliau juga bekas ahli majlis tertinggi Umno.
Mahathir berkata, mereka bertemu buat kali pertama selepas Perang Dunia ke-2, ketika menjadi ahli Saberkas, sebuah kumpulan kesedaran terdiri daripada pemuda Melayu.