‘Terlalu ramai ekstremis tak tahu malu’, Namewee tak akan tayang filem ‘BABI’ di Malaysia

‘Terlalu ramai ekstremis tak tahu malu’, Namewee tak akan tayang filem ‘BABI’ di Malaysia

Namewee berkata terdapat ramai ekstremis yang suka menghasut dan sering menggunakan isu perkauman untuk mencapai tujuan politik di Malaysia.

Namewee menjelaskan filem ‘BABI’ mencerminkan semangat dan perpaduan rakyat Malaysia kerana pelakon dan kru filem itu terdiri daripada pelbagai kaum. (Gambar Instagram)
PETALING JAYA:
Pengarah filem ‘BABI’ yang mencetuskan kontroversi, Namewee tidak akan menayangkan filem terbaharunya itu di Malaysia kerana “terlalu ramai ekstremis yang tak tahu malu” di negara ini.

Dalam kenyataan di Facebook Namewee atau nama sebenarnya Wee Meng Chee berkata, dia juga tidak akan memohon kepada mana-mana badan atau pertubuhan di Malaysia supaya filem yang mendapat pengiktirafan di luar negara itu dapat ditayangkan.

“Filem BABI diiktiraf dan menerima pencalonan di festival filem antarabangsa di 4 negara berbeza. Bagaimanapun, filem ini tidak akan dikeluarkan di Malaysia.

“Ini kerana Malaysia mempunyai terlalu ramai ekstremis yang tak tahu malu, suka menghasut dan sering menggunakan isu perkauman untuk mencapai tujuan politik mereka masing-masing,” katanya.

Penyanyi rap itu turut menjelaskan pelakon dan kru filem itu terdiri daripada pelbagai kaum dan karya berkenaan adalah hasil kerjasama mereka.

“Inilah yang mencerminkan semangat dan perpaduan rakyat Malaysia yang sebenarnya. Kali ini kita berjaya menempa nama di pentas antarabangsa.

“Ini adalah kebanggaan kita sebagai anak Malaysia! Malaysia Boleh!” katanya.

Terdahulu, Ahli Unit Penerangan Pemuda Perikatan Nasional (PN) Wilayah Persekutuan Mohammad Azwan Azmi membuat laporan polis terhadap Namewee berhubung poster filem berkenaan yang dikatakan menyentuh sensitiviti kaum di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Mohammad Azwan berkata, laporan polis dibuat kerana poster filem bertajuk ‘BABI’ itu mengandungi perkataan “Melayu Bodoh”, “India Keling” dan “Cina Babi”.

“Penghinaan dan provokasi ini dilihat amat keterlaluan dan merupakan satu tindakan kurang ajar serta biadab, dibimbangi menimbulkan ketegangan antara kaum di Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis itu.

Beliau berkata, pihaknya turut meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyekat kandungan berkaitan filem tersebut daripada diakses oleh rakyat Malaysia melalui Facebook, YouTube dan Instagram miliknya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.