
Beliau berkata seorang pekebun hanya dibenarkan menyewa tidak melebihi 3 ekar (1.2 hektar) dengan tempoh pajakan selama 10 tahun dan proses pengurusan pemberian sewa, secara keseluruhannya akan melibatkan 4 fasa.
Katanya, jumlah keseluruhan tanah yang terlibat ialah 1,155 hektar, dan setakat ini, 2 fasa telah selesai melibatkan mukim Ulu Telom dengan keluasan 749 hektar, Ringlet (89 hektar) dan Tanah Rata (5 hektar).
“Tanah yang terlibat ialah tanah yang dipajak oleh Perbadanan Kemajuan Cameron Highlands kepada Pahang Corporation, selaku pengurus hartanah. Petani yang berminat perlu melalui proses saringan jawatankuasa Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands.
“Tawaran sewaan tanah ini sebahagiannya diberikan kepada pekebun yang mendapat Lesen Pendudukan Sementara sebelum ini. Pemilihan pekebun bagi tawaran fasa ke-3 dan ke-4 akan diteliti supaya mereka juga dapat memenuhi terma ditetapkan,” katanya.
Mohd Soffi berkata demikian pada persidangan Dewan Undangan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang hari ini, bagi menjawab pertanyaan Chiong Yoke Kong (PH-Tanah Rata) yang mahu tahu jumlah tawaran dan kadar sewaan yang diagihkan kepada pekebun di kawasan tanah tinggi tersebut.
Mengulas lanjut, Mohd Soffi berkata kerajaan negeri menganggarkan sewaan tanah ini akan memberi pulangan hasil sebanyak RM4 juta pada tahun ini, manakala untuk tahun depan ialah sebanyak RM5.7 juta apabila semua tanah terlibat selesai disewakan.
Kawasan milik UiTM Jengka bukan lagi hutan simpan
Dalam pada itu, kawasan seluas 465.75 hektar, milik Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan tapak sebuah pasar raya di Jengka, kira-kira 100 kilometer dari sini, tidak lagi berstatus hutan simpan, kata Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail.
Beliau berkata pembatalan status hutan itu dilakukan Pihak Berkuasa Negeri mengikut Seksyen 13 Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313) dengan pemberitahuan pengisytiharan pembatalan dibuat melalui Warta Kerajaan Negeri Pahang bertarikh 11 Dis 2019.
Wan Rosdy berkata demikian pada persidangan Dewan Undangan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini, bagi menjawab soalan Shahril Azman Abd Halim (PAS-Jengka) yang mahu tahu status terkini hutan tersebut.