
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, jaminan akses awal bekalan vaksin Covid-19 adalah penting untuk melindungi rakyat Malaysia daripada penularan wabak dan membantu merancakkan ekonomi negara apabila vaksinasi dijadikan syarat untuk pergerakan dan perhubungan di peringkat global.
“Penyertaan Malaysia dalam platform multilateral, “Covax facility”, merupakan pendekatan pelbagai hala yang bakal membuka ruang untuk negara mempelbagaikan pilihan serta mengurangkan risiko memberi tumpuan kepada kaedah bilateral sahaja dalam pemerolehan vaksin Covid-19,” katanya di Dewan Rakyat semasa sesi pertanyaan menteri.
Beliau berkata demikian menjawab pertayaan Lim Guan Eng (PH-Bagan) yang meminta menteri menyatakan sama ada Malaysia menyertai inisatif Covax yang disokong oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang membolehkan 20% daripada penduduk sesebuah negara menerima dos vaksin Covid-19 dengan vaksin dihantar sebaik sahaja tersedia dan juga membantu membina semula ekonomi, selain kos penyertaannya dan peranan yang perlu dimainkan oleh negara kita.
Khairy berkata, Jemaah Menteri pada 14 Okt 2020 bersetuju menyertai fasiliti Covax yang bakal memberi jaminan bekalan vaksin untuk 10% populasi Malaysia.
“Jemaah Menteri juga bersetuju agar Kementerian Kesihatan (KKM) mewakili kerajaan Malaysia untuk memuktamadkan perjanjian penyertaan ke dalam Covax bersama Gabungan Vaksin dan Imunisasi Dunia (Gavi).
“Jabatan Peguam Negara pula ditugaskan untuk menyemak terma serta syarat perjanjian yang ditetapkan oleh Gavi.
“Setelah dibuat proses semakan, Jemaah Menteri memutuskan pada 13 Nov 2020 supaya Malaysia, melalui KKM memuktamadkan penyertaan dalam ‘Covax facility’ dengan menandatangani perjanjian ‘optional purchase arrangement’.
“Buat masa ini, KKM dan pihak Gavi sedang memuktamadkan tarikh bagi menandatangani perjanjian ini,” katanya.