
PAC dalam kenyataan berkata, sebarang tuduhan atau ugutan kepada PAC atau ahli jawatankuasa itu berhubung isu sedang disiasat atau laporan dibentangkan jelas mencampuri bidang kuasa Parlimen sebagai cabang legislatif bawah Perlembagaan Persekutuan.
“Jawatankuasa memberi amaran kepada mana-mana pihak supaya tidak mempertikaikan kerja dilakukan PAC Parlimen serta mengugut untuk mengambil tindakan undang-undang kepada pengerusi atau ahli PAC ketika mereka menjalankan tugas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Ketua Pegawai Undang-Undang YWP Mohd Fadzil Ab Hamid dilaporkan berkata, sedang mengkaji mengambil tindakan undang-undang terhadap Pengerusi PAC, Wong Kah Woh berhubung kenyataan tidak benar dikeluarkannya.
Wong pada Rabu lalu berkata, pengurusan YWP terdedah kepada konflik kepentingan memandangkan menteri Wilayah Persekutuan dan datuk bandar Kuala Lumpur turut memegang jawatan sebagai pengerusi dan ahli lembaga pemegang amanah dalam YWP.
Malah pengurusan YWP sebagai sebuah syarikat yang didaftar bawah Akta Syarikat 1965 (Akta Syarikat 2016) tidak dapat dipantau oleh mana-mana pihak berkuasa termasuk Jabatan Audit Negara
Jawatankuasa itu turut mencadangkan status YWP diubah menjadi sebuah badan berkanun bagi membolehkan pemantauan lebih efektif oleh pihak kerajaan.
PAC berkata, segala tuduhan terhadap laporan dibuat YWP sama sekali tidak berasas dan PAC Parlimen sudah menjalankan siasatan terhadap mana-mana isu tanpa prejudis kepada mana-mana pihak.
“PAC Parlimen sebulat suara menyifatkan kenyataan tersebut sebagai tidak patut sama sekali dan merupakan suatu percubaan untuk mencabar dan mencabuli keutuhan institusi Parlimen.
“PAC Parlimen tidak akan tunduk kepada tuduhan atau ugutan mana-mana pihak dalam menjalankan tugas jawatankuasa ini seperti termaktub dalam undang-undang negara,” katanya.