9,167 kes positif Covid-19 dikesan MySejahtera

9,167 kes positif Covid-19 dikesan MySejahtera

Pengesanan kes positif melalui aplikasi itu dilaksanakan melalui 2 kaedah.

Aplikasi MySejahtera dilancarkan pada 20 April lalu.
PETALING JAYA:
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata sejumlah 9,167 kes positif Covid-19 dikesan melalui aplikasi MySejahtera sejak ia dilancarkan pada 20 April lalu.

“Secara purata kes dikesan ialah 18.2-44.3% (peratusan berubah dari semasa ke semasa kerana bergantung kepada jumlah kes harian serta jumlah kes yang menggunakan MySejahtera),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pengesanan kes positif melalui aplikasi itu dilaksanakan melalui 2 kaedah.

Katanya, kaedah pertama penilaian kesihatan kendiri oleh pengguna yang membolehkan kes Covid-19 dikesan apabila seseorang itu menilai risiko terhadap penyakit berkenaan mengikut kriteria dalam garis panduan KKM.

Noor Hisham berkata, kaedah ke-2 membabitkan pengesanan kontak rapat melalui semakan data oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dengan pangkalan data MySejahtera.

“Penilaian kesihatan kendiri oleh pengguna, di mana kes Covid-19 dikesan apabila seseorang itu menilai risiko terhadap Covid-19 mengikut kriteria dalam garis panduan KKM. Sehingga 18 Nov 2020 1,561 kes (3.1-6.5%) berjaya dikesan dan disahkan positif Covid-19 dengan menggunakan kaedah penilaian kesihatan kendiri.

“Manakala pengesanan kontak rapat melalui semakan data oleh PKD dengan pangkalan data MySejahtera, pengguna yang berpotensi sebagai kontak rapat kepada kes positif Covid-19 akan dikesan melalui aplikasi ini. Sehingga 18 November 2020 sebanyak 7,606 kes Covid-19 (15.1-37.8%) dikesan positif melalui kaedah ini,” katanya.

Katanya, bagi tujuan pengesanan kontak, data MySejahtera yang diperlukan akan disalurkan kepada PKD untuk membantu aktiviti lapangan dan ia dianalisis bersama penemuan siasatan lapangan, seterusnya menyumbang kepada aktiviti pengesanan kontak.

“Data pengesanan kontak dikumpul melalui modul MySejahtera ‘Check-In’ apabila rekod kehadiran pengunjung disimpan melalui imbasan kod QR yang dipaparkan di semua premis,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.