90% permohonan inisiatif pendigitalan PKS lulus, kata menteri

90% permohonan inisiatif pendigitalan PKS lulus, kata menteri

Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah berkata, RM14.6 juta geran padanan diluluskan kepada 5,087 PKS yang layak, iaitu 90% daripada jumlah permohonan yang diterima.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah berkata, BSN, SME Bank dan MDEC kini dalam proses mewujudkan platform permohonan setempat secara digital yang dijangka dapat dilancarkan pada suku pertama 2021. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Sebanyak 5,634 permohonan daripada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) diterima bagi inisiatif pendigitalan PKS setakat Isnin lepas, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah.

Saifuddin berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM14.6 juta geran padanan diluluskan kepada 5,087 PKS yang layak, iaitu 90% daripada jumlah bilangan permohonan yang diterima.

“Kerajaan melalui Kementerian Kewangan melantik Bank Simpanan Nasional (BSN) sebagai peneraju utama dalam menyalurkan geran itu, termasuk permohonan, pemprosesan dan pembayaran geran, manakala SME Bank dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) adalah rakan strategik kepada BSN.

“Peranan MDEC dalam proses ini adalah hanya pada peringkat awal dalam memberikan khidmat nasihat dalam bidang pendigitalan serta menyediakan senarai syarikat Technology Solutions Provider (TSP) untuk dipilih oleh PKS sebelum mereka menghantar permohonan kepada BSN,” katanya pada sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat hari ini.

Saifuddin berkata demikian bagi menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) yang meminta penjelasan kementerian mengenai status pelaksanaan inisiatif itu, termasuk jumlah permohonan yang diterima setakat ini dan jumlah yang diluluskan serta dibayar kepada penerima.

Menjawab soalan Khoo mengenai proses permohonan melibatkan BSN yang didakwa memberi maklumat berlainan dan mengelirukan, Saifuddin berkata, BSN menugaskan pegawai mereka untuk memudahkan urusan permohonan PKS yang dibuat oleh TSP.

Dalam masa sama beliau berkata BSN, SME Bank dan MDEC kini dalam proses mewujudkan platform permohonan setempat secara digital yang dijangka dapat dilancarkan pada suku pertama 2021.

“Dengan adanya kemudahan permohonan secara digital, semua pihak, PKS dan TSP boleh mengetahui status permohonan secara dalam talian.

“Secara tidak langsung, ini akan menangani isu kelewatan pemprosesan permohonan geran padanan ini, selain dijangka dapat memendekkan jangka masa kelulusan kepada hanya 3 hari, berbanding 14 hari sebelum ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.