PKPB seperti biasa di Batu Sapi walaupun darurat

PKPB seperti biasa di Batu Sapi walaupun darurat

Pentadbiran di Batu Sapi masih bawah kerajaan awam, kegiatan ekonomi dan sosial diteruskan seperti biasa mengikut SOP pencegahan Covid-19.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada perutusan khas petang tadi memberi jaminan PRK Batu Sapi akan diadakan dengan kadar segera apabila wabak Covid-19 berakhir. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Perisytiharan darurat bagi Parlimen Batu Sapi tidak akan menjejaskan kehidupan seharian rakyat, kerana semua berjalan seperti biasa mengikut SOP pencegahan Covid-19.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata pentadbiran di Batu Sapi masih bawah kerajaan awam dan kegiatan ekonomi dan sosial diteruskan mengikut perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di Sabah.

“Tidak ada perintah berkurung atau pemerintahan ala tentera di Batu Sapi,” katanya dalam perutusan khas hari ini.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, setuju mengisytiharkan darurat di Batu Sapi bagi menangguhkan PRK yang dijadualkan pada 5 Dis.

Perisytiharan ini bagi bagi mengekang dan menghalang berlakunya gelombang ke-4 wabak Covid-19, mengambil iktibar daripada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-16, yang menjadi faktor utama gelombang ke-3 penularan Covid-19.

Perdana menteri memberi jaminan PKR Batu Sapi akan diadakan dengan kadar segera apabila wabak Covid-19 berakhir.

“Apabila PRK diadakan kelak, para pengundi akan dapat melaksanakan hak demokrasi masing-masing dalam keadaan yang lebih selamat, aman, dan tenteram,” katanya.

Muhyiddin memberikan 5 sebab utama yang menyebabkan Jemaah Menteri menasihati Agong supaya mengisytiharkan darurat di Parlimen Batu Sapi, mengikut Perkara 150 yang dibaca bersama Fasal (1) dan (1A) Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan.

“Pertamanya ialah faktor ancaman terhadap kesihatan awam. Pengalaman PRN Sabah menunjukkan pilihan raya yang diadakan ketika Covid-19 sedang melanda menjadi punca penularan gelombang ke-3 wabak ini dalam komuniti,” katanya.

SPR juga hadapi kekangan untuk mendapatkan petugas pilihan raya disebabkan kebimbangan yang tinggi dalam kalangan petugas terhadap kemungkinan terkena jangkitan Covid-19 ketika bertugas.

“Disebabkan kebimbangan ini, setakat 6 Nov, SPR hanya berjaya melantik 143 orang petugas pilihan raya, iaitu 17.1% sahaja berbanding 837 orang yang diperlukan bagi pelaksanaan PRK Batu Sapi,” katanya.

Pergerakan rentas daerah dalam kalangan petugas pilihan raya dan pengundi tidak akan dapat dielakkan apabila PRK diteruskan, sekaligus meningkatkan risiko penularan ke daerah-daerah lain di Sabah.

“Keempat ialah kebimbangan mengenai risiko jangkitan Covid-19 dalam kalangan pengundi di Batu Sapi, terutamanya warga emas yang merupakan golongan berisiko tinggi,” katanya.

Menurut Muhyiddin, sebab terakhir adalah bimbang akan impak penularan Covid-19 secara mendadak selepas PRK ke atas kehidupan sosial dan ekonomi penduduk Batu Sapi dan daerah Sandakan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.