Pencuci pinggan, anak tersentuh dengan bantuan orang ramai

Pencuci pinggan, anak tersentuh dengan bantuan orang ramai

Sumbangan wang tunai dan barang makanan datang selepas kisah 2 beranak itu tinggal dalam bilik kecil di belakang kedai gunting rambut.

K Selvarani dan anaknya Emmanuel Joseph John di dalam bilik kecil mereka di bahagian belakang sebuah kedai gunting rambut di Jelutong, Penang.
GEORGE TOWN:
Ratusan orang tampil menghulurkan bantuan kepada K Selvarani dan anaknya selepas FMT melaporkan kisah kesusahan mereka 2 hari lepas.

Selvarani, 57, dan Emmanuel Joseph John, 28, berkata mereka terkejut dengan “kasih dan rahmat” yang mereka terima dari rakyat.

Emmanuel bagai bulan jatuh ke riba selepas memeriksa baki banknya di mesin ATM semalam. Dia cuba menahan air mata sambil melihat baki RM9,327.54 tertera pada penyata mini yang dicetak.

“Saya hanya mempunyai baki RM5 sebelum ini,” katanya kepada wartawan FMT yang menemaninya.

“Yang paling banyak pernah saya ada dalam akaun saya sebelum ini adalah RM1,200.” Itulah jumlah yang pernah dia peroleh sebagai pengawal keselamatan. Itu adalah gaji bulanannya ditambah dengan kerja lebih masa.

Selvarani dan anak, Emmanuel di hadapan kedai gunting rambut.

Penderma terbesar adalah hartawan Mohamad Salim Fateh Din, yang pembantunya menghantar mesej kepada Emmanuel memaklumkan RM5,000 dimasukkan ke akaun banknya.

Selvarani kehilangan pekerjaannya sebagai pencuci pinggan di sebuah kedai makan 2 minggu yang lalu selepas pengsan akibat vertigo (hilang keseimbangan). Majikannya tidak mengambilnya bekerja selepas menjalani rawatan kerana bimbang Selvarani mungkin dijangkiti Covid-19.

Emmanuel pula meninggalkan kerja sebagai pengawal keselamatan apabila majikannya gagal membayar gajinya.

Mereka kini tinggal di belakang kedai gunting rambut di Jelutong.

Selvarani, yang pendengarannya kurang baik dan hampir bisu, menzahirkan rasa terima kasihnya dengan senyuman dan linangan air mata sambil menunjukkan ke arah beg makanan dan barang-barang lain diberi masyarakat dalam tempoh 48 jam lalu.

Emmanuel berkata mereka juga menerima sumbangan wang tunai hampir RM1,000 daripada mereka yang murah hati.

Emmanuel menunjukkan penyata bank selepas menerima sumbangan dari penderma yang bermurah hati.

Seorang wakil dari St Nicholas Home for the Blind sempat singgah dan menyerahkan sebatang tongkat kepada Emmanuel. Kemalangan 8 tahun lalu menjadikannya buta sebelah mata.

Adun Batu Lanchang, Ong Ah Teong, juga menyumbang sebanyak RM500. Katanya, beliau akan membantu mereka memohon bantuan kebajikan dengan segera. Beliau meminta mereka menukar alamat MyKad dari Port Dickson ke Pulau Pinang supaya mereka layak menerima bantuan kerajaan negeri dan perumahan awam.

Emmanuel turut berkongsi bahawa ibunya mula memasak selepas seorang dermawan misteri membelikan dapur dan gas memasak untuk mereka.

Katanya, dia akan membawa ibunya ke hospital untuk merawat masalah vertigo itu.

Dia juga berkata mereka menunggu untuk berpindah dari bilik sekarang selepas seorang wanita berjanji mendapatkan tempat tinggal buat sementara waktu.

“Terima kasih kepada semua yang bantu kami,” katanya. “Saya dan ibu saya sangat gembira.”

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Jika anda mahu membantu, mesej kami di Whatsapp FMT Helpline @ 0193899839.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.