
Sudah 3 tahun sejak nenek berusia 65 tahun itu hilang tanpa jejak dan anaknya, Greg berkata, keluarganya mahu mengebumikannya dengan betul.
Satu tulang yang ditemui Julai lalu sudah dikenal pasti miliknya, tetapi pihak berkuasa belum memaklumkan sama ada 5 tulang yang ditemui Ogos lalu ialah miliknya.
Jenkins tertanya-tanya kenapa tiada penggalian tulang lain.
“Anda menemui 6 tulang, tetapi tidak menjumpai lebih banyak (tulang). Kami mahu memberi beliau pengebumian sewajarnya.
“Tidak kira berapa kali kami menjerit, keadilan kelihatan jauh. Ia adalah kes pembunuhan, tetapi ia tidak dianggap begitu.
“Kami ingin tahu apa yang berlaku kepada ibu kami,” katanya kepada FMT.

Jenkins berkata, keluarganya dimaklumkan polis mengenai satu serpihan tulang tengkorak, kaki, jari, tulang pinggul dan sebahagian tulang belakang dijumpai di tapak pembinaan berhampiran balapan lumba kuda di Jalan Scotland pada 12 Ogos lalu.
Beliau mengadu ujian DNA ke atas tulang itu mengambil masa terlalu lama dan keluarganya tidak mendapat laporan penuh.
Katanya, polis meminta keluarganya menunggu proses mahkamah.
Jenkins berkata, bapanya, Frank keluar masuk hospital akibat penyakit demensianya semakin teruk susulan kehilangan ibunya dan beliau “sangat sakit” sejak 2 minggu lalu kerana “beberapa strok ringan” serta menghidap kanser prostat dan dada.

Annapuranee yang dilahirkan di Malaysia, hilang ketika percutian pendek di Pulau Pinang. Beliau kali terakhir diketahui menaiki Uber ke Ramakrishna Ashram di Jalan Scotland. Tulangnya ditemui 3km dari sana.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Soffian Santong memberitahu FMT, polis sudah mencadangkan inkues diadakan.
Katanya, polis akan akan bergantung kepada nasihat pakar forensik dan Hospital Pulau Pinang sama ada akan melakukan penggalian untuk mencari lebih banyak tulang.
Mengulas aduan Jenkins mengenai kelewatan dalam ujian DNA, beliau berkata, keluarga itu perlu memeriksa dengan Jabatan Kimia.
“Keluarga Jenkins tidak perlu bimbang. Mereka boleh melantik seorang peguam dan bertanya semua soalan perlu di depan koroner.
“Tidak perlu menemui media untuk mencemarkan imej polis Malaysia.”