
Gobind (PH-Puchong) berkata, hanya RM9.8 juta daripada RM178 juta yang dicadangkan kepada AGC akan disalurkan kepada bahagian pendakwaan.
Beliau berkata, bahagian berkenaan memperoleh RM15.8 juta dalam perbelanjaaan sebelum ini.
“Saya nak tanya kenapa (wujudnya) pengurangan (peruntukan) dan ia bukan 10%, 20% tetapi 37%, hampir separuh. Kita perlu melihat bagaimana kita boleh menggalakkan mereka (bahagian pendakwaan) untuk melaksanakan tugas khususnya (memeriksa) kes-kes yang sebesar ini (kes 1MDB),” katanya semasa perdebatan Rang Undang-Undang Pembekalan 2021 di Dewan Rakyat hari ini.
Gobind yang juga bekas menteri komunikasi dan multimedia turut mempersoalkan kelewatan sambungan internet di seluruh negara dan berkata Putrajaya tidak harus menunggu sehingga menara dibina.
“(Pembinaan menara telekomunikasi) mengambil masa yang cukup panjang…kita tidak ada masa setahun. Kita tidak boleh memberitahu murid-murid bahawa untuk 1 tahun (akan datang) tidak ada pembelajaran melalui talian,” katanya.
Beliau berkata, cara yang paling cepat untuk memastikan sambungan internet berjalan lancar adalah menerusi satelit jalur lebar.