Belum masa cakap pasal PRK Bugaya, kata Masidi

Belum masa cakap pasal PRK Bugaya, kata Masidi

Kerusi DUN Bugaya kosong susulan kematian penyandangnya Manis Muka Darah akibat masalah buah pinggang di Hospital Gleneagles semalam.

Masidi Manjun berkata sekarang bukan masa sesuai untuk berpolitik dan berharap semua masyarakat tidak kira fahaman politik akan bersama berjuang memerangi Covid-19.
KOTA KINABALU:
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Masidi Manjun berkata, terserah kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menentukan Pilihan Raya Kecil (PRK) Bugaya namun menegaskan sekarang bukan masa sesuai untuk bercakap mengenai perkara itu.

Katanya, semua pihak perlu menghormati keadaan berikutan pemergian penyandang DUN itu, Manis Muka Darah, yang meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Gleneagles, semalam.

“Semua orang masih bersedih dengan kehilangan seorang wakil rakyat, saya mengenali Allahyarhamah dan suaminya juga kawan baik saya ketika bersekolah dulu, bagi pihak kerajaan negeri serta seluruh jawatankuasa pengurusan Covid-19 Sabah, ingin merakamkan setinggi-tinggi takziah kepada keluarga beliau.

“Jawapan saya pendek saja, biarlah SPR tentukan tetapi secara peribadi, saya merasakan ia bukan masa sesuai untuk bercakap mengenai PRK,” katanya pada sidang media perkembangan Covid-19 Sabah menerusi aplikasi Zoom, hari ini.

Sementara itu, mengulas pengisytiharan darurat di Batu Sapi, Masidi berkata ia lebih kepada bagi menangguhkan PRK di kawasan berkenaan.

“PRK tidak boleh dielak kerana ia sebahagian peruntukan perlembagaan dan harus diadakan dalam masa tertentu.

“Bagaimanapun, dengan pengisytiharan (darurat) ini, ia boleh menangguh PRK Batu Sapi ke satu tarikh akan ditentukan kemudian dan keputusan ini tepat.

“Saya menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong dan dengan penangguhan PRK ini, ia mengelak kita daripada terdedah risiko jangkitan Covid-19,” katanya.

Masidi berkata, sekarang juga bukan masa sesuai untuk berpolitik dan berharap semua masyarakat tidak kira fahaman politik akan bersama berjuang memerangi Covid-19.

“Politik boleh menunggu, saya menyeru semua pihak tidak kira dari parti mana atau apa pun supaya berganding bahu memerangi Covid-19.

“Walaupun kes Covid-19 di Sabah mula menunjukkan sedikit kestabilan, namun kita belum menang dalam perjuangan memerangi Covid-19 ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.