
Ia susulan laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), menyatakan pengurusan YWP terdedah kepada konflik kepentingan kerana menteri Wilayah Persekutuan dan datuk bandar Kuala Lumpur adalah pengerusi dan ahli lembaga pemegang amanah kepada yayasan itu.
Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh berkata, peranan utama yayasan itu yang menguruskan kebajikan rakyat boleh dilakukan Yayasan Kebajikan Negara (YKN) bawah kementerian pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat.
Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng berkata, DBKL juga boleh menubuhkan jabatan berasingan bawah seliaannya untuk mengendalikan perkara berkaitan kebajikan manakala ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil berkata, YWP boleh bertukar menjadi badan statutori.
“Jika kementerian berkenaan tidak berniat menutup YWP, pilihan lain ialah menukarnya menjadi badan statutori yang dapat diaudit Jabatan Audit Negara,” kata Fahmi pada sidang media hari ini.
YWP ialah sebuah syarikat berdaftar bawah Akta Syarikat 1965 dan ia tidak diawasi oleh mana-mana pihak berkuasa, termasuk Jabatan Audit Negara.
Semalam PAC mendedahkan 97 transaksi penjualan tanah milik DBKL dilakukan tanpa merujuk kepada sebarang SOP sejak 2011, proses itu terlalu longgar dan mudah terdedah kepada penyalahgunaan kuasa.
Pengerusi PAC Wong Kah Woh mencadangkan supaya penjualan dan pelupusan tanah milik DBKL harus dilakukan secara telus berdasarkan SOP yang komprehensif.
Yeoh menggesa kementerian Wilayah Persekutuan menghentikan serta-merta semua transaksi tanah milik DBKL melibatkan YWP buat masa ini dan mengkaji cadangan dibentangkan PAC.
“PAC ialah bipartisan kerana ahli Parlimen kedua-dua pihak mengkaji semua isu ini dan membuat cadangan. Memandangkan ia adalah usaha bipartisan, tiada sebab bagi menteri Wilayah Persekutuan dan Kabinet menolak dengan mendakwanya sebagai dokumen berunsur politik,” katanya.
Beliau turut berkata, wajar bagi penduduk Segambut yang berjuang untuk mengekalkan status Taman Rimba Kiara sebagai sebuah taman kerana laporan PAC mengesahkan apa yang dikatakan mereka sebelum ini.
Fahmi menggesa Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa mengulas laporan PAC di Parlimen dan menambah ia adalah alasan yang baik bagi menteri itu bertemu ahli Parlimen pembangkang.
“Ini alasan yang baik untuk kami duduk bersama. Kami dipilih oleh pengundi Kuala Lumpur, jadi kami mempunyai ‘locus standi’ untuk memberi cadangan dan nasihat,” katanya.