
Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat, isu itu terkandung dalam sesi soal jawab lisan yang akan diajukan Robert Lawson Chuat (GPS-Betong) kepada menteri kerja raya berhubung bilangan pelatih Akademi Binaan Malaysia (ABM) dan sejauh mana akademi itu boleh menyediakan tenaga kerja mahir.
Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti) pula meminta menteri pembangunan usahawan dan koperasi menyatakan langkah khusus membantu industri perniagaan berasaskan perkahwinan yang terbeban dengan pembatalan dan SOP ketat Covid-19.
Selepas sesi itu tamat, perbahasan berkaitan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 akan menyusul untuk hari ke-6.
Sidang Dewan Rakyat akan berlangsung selama 4 jam sehari, mulai 10 pagi hingga 2 petang setiap Isnin hingga Khamis, selain mengehadkan hanya 80 ahli Parlimen – 41 pihak kerajaan serta 39 pembangkang dan bebas – yang dibenarkan berada di dalam dewan pada satu-satu masa.
Peraturan itu diperkenalkan sebagai langkah berjaga-jaga berikutan penularan Covid-19.
Mesyuarat ke-3 Penggal ke-3 Parlimen ke-14 akan berlangsung selama 27 hari sehingga 15 Dis ini.