
Pengerusi PAC Wong Kah Woh berkata, hanya selepas 2015 DBKL menambah baik proses penjualan dan pelupusan tanah menerusi pemerkasaan Jawatankuasa Penswastaan melalui penyediaan senarai semak yang mempunyai prosedur lebih terperinci dan mendapat pengiktirafan ISO.
“Kaedah penyelesaian terhadap 97 transaksi penjualan tanah milik DBKL yang terjual sejak 2011 tidak merujuk sebarang SOP. Proses tersebut terlalu longgar, terdedah kepada penyalahgunaan kuasa dan kurang melindungi kepentingan DBKL dan warga kota,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada September 2018, Khalid Samad yang ketika itu menteri Wilayah Persekutuan berkata, pihaknya mengesan 97 transaksi meragukan membabitkan penjualan tanah milik DBKL seluas 273.27 hetktar bernilai RM5.63 bilion.
Manakala, Ogos tahun lalu Noraini Ahmad yang ketika itu pengerusi PAC berkata, siasatan PAC dalam isu berkenaan tidak ada kaitan dengan perbicaraan kes mahkamah membabitkan bekas menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor.
Wong berkata, draf Pelan Bandaraya Kuala Lumpur 2020 yang diluluskan menteri Wilayah Persekutuan terdahulu berbeza dengan draf pelan dibentangkan kepada orang awam pada 2008. Manakala, draf pelan yang digazet belum mendapat maklum balas semua pihak berkepentingan.
Manakala, sementara menunggu kelulusan menteri Wilayah Persekutuan ke atas Pelan Bandaraya Kuala Lumpur 2020, lebih 200 arahan pembangunan (DO) dikeluarkan DBKL, yang menyebabkan beberapa perubahan dan memberi kesan negatif kepada alam sekitar dan lain-lain.
“Pengurusan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) terdedah kepada konflik kepentingan memandangkan menteri Wilayah Persekutuan dan datuk bandar Kuala Lumpur turut memegang jawatan sebagai pengerusi dan ahli lembaga pemegang amanah dalam YWP.
“Bahkan, pengurusan YWP sebagai sebuah syarikat yang didaftar bawah Akta Syarikat 1965 (Akta Syarikat 2016) tidak dapat dipantau oleh mana-mana pihak berkuasa termasuk Jabatan Audit Negara,” katanya.
Beliau berkata, disebabkan itu PAC mengesyorkan kepada Putrajaya supaya urusan penjualan dan pelupusan tanah milik DBKL perlu dijalankan secara telus, terbuka dan berdasarkan SOP komprehensif.
“Ini termasuk bidang kuasa diperuntukkan kepada menteri Wilayah Persekutuan dan datuk bandar KL. Kementerian Wilayah Persekutuan dan DBKL perlu mengkaji semula Pelan Bandaraya Kuala Lumpur 2020 dengan mengambil kira perubahan daripada draf asal.
“Ini kerana dalam tempoh antara draf pelan dan pelan yang diwartakan, lebih 200 DO dikeluarkan secara khusus mengakibatkan kesan negatif kepada alam sekitar, penukaran kepada zon komersial dan penambah kepadatan termasuk plot ratio,” katanya.
Katanya, Putrajaya juga perlu mengkaji semula fungsi dan kesesuaian YWP. Baginya, struktur dan amalan YWP sedia ada tidak membolehkan penglibatan menteri Wilayah Persekutuan dan datuk bandar Kuala Lumpur tanpa kewujudan konflik kepentingan.
“Status YWP hendaklah diubah menjadi sebuah badan berkanun bagi membolehkan pemantauan lebih efektif oleh pihak kerajaan,” katanya.