
Young Syefura berkata, beliau akan menjelaskan bayaran kompaun itu dalam masa terdekat dan polis memaklumkan kes terhadapnya dianggap selesai.
“Saya meminta maaf kerana melanggar SOP PKPB yang sedikit sebanyak memberi kesan kepada Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang. Saya juga memohon maaf kepada semua rakyat Pahang atas kesilapan itu,” katanya.
Young Syefura berkata demikian semasa membahaskan Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan (Belanjawan 2021) pada persidangan DUN Pahang di Wisma Sri Pahang hari ini, yang dibentangkan oleh Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail semalam.
Sebelum ini, Young Syefura dikecam selepas memuat naik di Instagram gambar beliau bersama 4 rakan menyambut ulang tahun kelahirannya di pantai Bagan Lalang, Selangor, yang kemudian dipadamkan daripada laman sosial tersebut.
Selangor merupakan antara negeri dikenakan PKPB hingga 6 Disember ini, dan orang ramai dilarang merentas daerah tanpa urusan penting sepanjang tempoh tersebut.