
Persatuan itu menggesa Putrajaya mengarahkan syarikat terbabit segera memberi atau melanjutkan moratorium bayaran pinjaman seperti yang dinasihati oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
Antaranya, ia menggesa kerajaan supaya menimbang untuk mengambil alih hutang yang ditanggung oleh pengusaha bas dengan membeli bas dan membiayai operasi mereka melalui syarikat kredit, sekali gus mendakwa sekurang-kurangnya 1,200 bas di zon utara telah dijual setakat hari ini.
Presiden Matta Tan Kok Liang berkata, pengusaha terbabit tiada perniagaan sejak Mac apabila negara diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP) dan penutupan sempadan antarabangsa, selain menambah bahawa mereka perlu membuat pembayaran kepada syarikat kredit dan pajakan.
“Ironisnya walaupun terbabit dalam urus niaga pinjaman dan pajakan, syarikat kredit dan pajakan tidak dikawal selia oleh Bank Negara.
“Sudah lebih 6 bulan industri pelancongan, terutama pengusaha bas, telah membangkitkan isu berkenaan, tetapi setakat ini masih tiada langkah proaktif yang diambil untuk menangani isu yang serius ini,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, Matta mula membangkitkan isu berkenaan pada Mac selepas menerima aduan daripada ahli persatuan yang memaklumkan bahawa syarikat kredit dan pajakan “membuat peraturan sendiri” berhubung pembayaran balik pinjaman.
“Syarikat kredit dan pajakan membuat peraturan dan amalan mereka sendiri berhubung moratorium bayaran pinjaman, bukannya melaksanakan arahan yang ditetapkan oleh bank pusat,” katanya.
Susulan pembentangan belanjawan, beberapa kumpulan pengusaha bas persiaran membuat laporan polis di Pulau Pinang dan Putrajaya terhadap kerajaan kerana “gagal” membantu mereka ketika pandemik Covid-19.
Penegrusi Persatuan Gabungan Pengusaha Bas Persiaran Zon Utara Ahmad Ruslan Abdul Latiff berkata, kerajaan ibarat meletak garam pada luka mereka apabila Belanjawan 2021 mengabaikan rayuan mereka, terutama berkait lanjutan moratorium bayaran balik pinjaman.