Guru buat ‘kolam’ khas untuk petugas barisan depan sempena Deepavali

Guru buat ‘kolam’ khas untuk petugas barisan depan sempena Deepavali

Seorang guru muda di Pahang membuat 'kolam' sebagai penghormatan kepada petugas barisan depan yang bekerja keras memerangi Covid-19.

‘Kolam’ yang dibuat Siva Das Menasome sebagai penghormatan kepada petugas barisan depan di seluruh negara.
PETALING JAYA:
Ketika seluruh dunia diselubungi kegelapan akibat Covid-19, seorang lelaki di Pahang mengambil peluang sempena sambutan Deepavali untuk mengiktiraf petugas barisan depan yang berusaha membebaskan negara daripada virus maut itu.

Siva Das Menasome, guru berusia 20 tahun dari Karak, membuat “kolam” unik untuk memberi penghormatan kepada petugas barisan depan.

“Dalam agama Hindu, ‘kolam’ sangat penting. ‘Kolam’ berwarna yang kita sebut Rangolum atau Rangoli, diletakkan di luar untuk membawa rahmat ke dalam rumah, bagi menarik kegembiraan dan kemakmuran.”

“Kolam” biasanya dibuat dengan menyusun beras berwarna menjadi gambaran simbol tradisional seperti burung merak dan bunga, tetapi Siva mengambil pendekatan berbeza dengan meletakkan petugas barisan depan yang menurutnya bekerja keras untuk menyelamatkan negara.

“Kolam tahun ini ialah penghormatan kepada mereka. Ia menampilkan 3 petugas barisan depan dengan yang tengah memegang sebuah pelita yang membawa cahaya untuk mengatasi kegelapan, Covid-19.”

Keseluruhan “kolam” buatan tangan itu menggunakan beras berwarna, di mana Siva meletakkan beras itu dalam bentuk tidak jelas sebelum menetapkan bahagian tepi dengan ibu jarinya.

Berpandukan lakaran awal, beliau dari semasa ke semasa akan melihatnya dan mengetepikan beras untuk membetulkan sebarang kesilapan, tidak kira sekecil mana pun.

Siva Das Menasome.

Siva mengambil 3 jam untuk menyiapkan “kolam” itu, tetapi proses penuh bermula seminggu lebih awal membabitkan banyak perancangan untuk reka bentuk dan penentuan warna, yang digabungkannya sendiri menggunakan beras hancur dan pewarna makanan.

“Saya buat banyak penyelidikan kerana semua orang boleh buat ‘kolam’, tetapi keunikannya paling penting buat saya.”

Bermula sebagai hobi di rumah keluarganya 7 tahun lalu, bentuk seni tradisional itu bertukar menjadi minat Siva yang mencipta “kolam” untuk majlis perkahwinan dan pusat beli-belah sejak itu.

Katanya, masih banyak yang perlu dipelajarinya, walaupun selepas mendapat perhatian dalam talian dan “kolam” yang dihasilkan untuk pelbagai acara.

Tetapi, buat masa ini, beliau menantikan saat virus itu dibasmikan dan negara boleh mara ke masa depan lebih cerah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.