
“Kita semua sedia maklum akan kegagalan Mahathir sebagai perdana menteri dalam mempertahankan agenda reformasi dan mandat yang diberikan oleh rakyat sepanjang 22 bulan PH memerintah negara,” kata ketua penerangan parti itu, Shamsul Iskandar Mohd Akin.
PKR juga mendakwa bekas perdana menteri itu cuba menghalang PH daripada kembali berkuasa.
Kritikan itu menyusul kenyataan terbaru Mahathir, yang merupakan bekas pengerusi PH, yang secara terbuka mendakwa Anwar tidak mampu memimpin negara ini yang sedang berhadapan dengan krisis ekonomi.
Shamsul berkata, serangan terbaru Mahathir terhadap Anwar juga menggambarkan bahawa bekas perdana menteri itu terdesak untuk dilihat relevan dalam arus politik perdana.
“Serangan beliau terhadap Anwar adalah tidak berasas dan boleh disifatkan sebagai percubaan untuk mengkhianati serta menggagalkan usaha Pakatan Harapan mendapatkan semula kerajaan.
“Mahathir meletak jawatan tanpa sebarang perbincangan dengan pimpinan PH adalah punca kejatuhan kerajaan, seterusnya memangkin rampasan kuasa secara khianat oleh Muhyiddin Yassin dengan dukungan gerombolan pimpinan PPBM,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Mahathir juga tidak berhenti mengganggu usaha Anwar untuk mendapatkan sokongan dan mengambil kembali kerajaan yang dipilih rakyat selepas ia dirampas Mac lalu.
“Mahathir perlu menghentikan tindakan beliau yang kini dilihat sebagai langkah untuk memecahbelahkan PH serta menggagalkan usaha tersebut.
“Mahathir sewajarnya bermuhasabah dan insaf bahawa punca segala ketidakstabilan politik yang berlaku dalam negara mutakhir ini berpunca daripada tindakan beliau sendiri,” katanya.
Dalam wawancara bersama portal The Malaysian Insight baru-baru ini, Mahathir secara terbuka berkata, Anwar tidak layak memegang jawatan perdana menteri ketika negara menghadapi krisis dengan memberi contoh krisis ekonomi pada 1997.
“Saya tidak tahu penilaian yang akan dibuat oleh rakyat, tetapi yang jelasnya dalam krisis kewangan 1997/98 dia (Anwar) tidak berkeupayaan,” kata Mahathir.