Dakwaan terima dana RM8.6 juta, NGO buat laporan polis terhadap pemimpin DAP

Dakwaan terima dana RM8.6 juta, NGO buat laporan polis terhadap pemimpin DAP

Ketua Pemuda DAP Perak Steven Chaw dilaporkan mendakwa Pertubuhan Penggerak Komuniti Negara menerima peruntukan kerajaan sebanyak RM8.6 juta.

Pengerusi PKN Nor Hizwan Ahmad (tengah) membuat laporan polis terhadap Ketua Pemuda DAP Perak Steven Chaw hari ini. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Pertubuhan Penggerak Komuniti Negara Malaysia (PKN) hari ini membuat laporan polis terhadap Ketua Pemuda DAP Perak Steven Chaw, berhubung dakwaan pertubuhan berkenaan menerima peruntukan kerajaan berjumlah RM8.6 juta.

Pengerusi PKN Nor Hizwan Ahmad berkata, laporan polis berkenaan dibuat susulan artikel sebuah portal media tempatan yang memetik Steven Chaw, bahawa pertubuhan itu didakwa menerima dana berkenaan dan ahli jawatankuasa akan mendapat sebanyak RM780,000 setiap seorang.

“Saya nafi sekeras-kerasnya. Saya percaya fitnah dan penipuan yang sama berlegar di banyak media sosial dan ingin memburukkan reputasi kami selaku badan bukan kerajaan (NGO) yang banyak berurusan dengan komuniti B40 seluruh negara.

“Saya mengesyaki perkara ini dilakukan susulan perbahasan ketua pembangkang (Anwar Ibrahim) di Parlimen, yang mengaitkan dana itu dengan NGO kami.

“Ia kemudian dijadikan modal politik pembangkang untuk memburukkan usaha kami membantu masyarakat,” katanya selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju, di sini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Rajab Ahad Ismail ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.