Bakal pengantin, rombongan dari luar Pahang perlu kemuka keputusan ujian RTK-Ag

Bakal pengantin, rombongan dari luar Pahang perlu kemuka keputusan ujian RTK-Ag

Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang Zulkifle Ali berkata, ujian RTK-Ag hendaklah dibuat dalam tempoh 72 jam sebelum majlis akad nikah berlangsung.

Perintah kawalan pergerakan bersyarat dilaksanakan di semua negeri di semenanjung melainkan Kelantan, Pahang dan Perlis sehingga 6 Dis bagi mencegah penularan wabak Covid-19.
KUANTAN:
Bakal pengantin dan rombongan yang datang dari luar Pahang perlu mengemukakan keputusan ujian Antigen Rapid Test Kid (RTK-Ag) Covid-19 yang dibuat dalam tempoh 72 jam sebelum majlis akad nikah dibuat di negeri ini.

Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) Zulkifle Ali berkata, ujian tersebut boleh dibuat di mana-mana kemudahan kesihatan kerajaan atau swasta yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan, termasuk di negeri asal individu terlibat.

“Kos menjalani ujian itu adalah tanggungan sendiri dan ketidakpatuhan dalam aspek masa, jenis dan keputusan ujian RTK boleh menyebabkan majlis akad nikah ditangguhkan dengan kuasa kadi daerah,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Zulkifle berkata, keputusan ujian itu hendaklah dikemukakan kepada pejabat agama Islam daerah bersama dengan permit kebenaran merentas negeri sebelum majlis dibenarkan berlangsung.

Pengarah Jaip Zulkifle Ali.

Syarat itu dibuat berdasarkan situasi terkini Covid-19 yang menyaksikan sebilangan besar negeri tertakluk kepada pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB), selain untuk membendung penularan wabak tersebut di Pahang.

PKPB dilaksanakan di Semenanjung Malaysia kecuali di Kelantan, Pahang dan Perlis sehingga 6 Dis ini.

Selain itu, Zulkifle memaklumkan majlis akad nikah hanya boleh dilaksanakan di pejabat agama Islam daerah atau di lokasi yang difikirkan sesuai oleh kadi daerah, dengan tempoh masa maksimum perjalanan majlis selama 20 minit.

“Upacara adat istiadat tidak dibenarkan sama sekali dan kehadiran yang dibolehkan hanya 8 orang, termasuk jurunikah, 2 orang saksi, pasangan pengantin dan wali,” katanya.

Zulkifle berkata, giliran waktu majlis berlangsung ditentukan oleh kadi selepas perbincangan dengan pihak bakal pengantin dan mereka yang hadir wajib mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pejabat agama Islam daerah.

Ini termasuklah memakai pelitup muka, melepasi ujian suhu, mendaftar kehadiran, menggunakan cecair pembasmi kuman dan mematuhi aspek penjarakan fizikal.

“Kita berharap semua pihak dapat mematuhi syarat yang ditetapkan. Jika garis panduan ini tidak dipatuhi, kadi atau wakilnya boleh menangguhkan majlis akad nikah tersebut,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.