Putrajaya digesa lepas pegangan dalam GLC

Putrajaya digesa lepas pegangan dalam GLC

Ahli ekonomi berkata, syarikat terbabit perlu berdikari supaya kerajaan tidak lagi perlu menyelamatkan mereka.

Kerajaan memegang saham majoriti dalam banyak syarikat besar di Malaysia.
PETALING JAYA:
Seorang ahli ekonomi menggesa pembaharuan dilaksanakan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) berikutan kebimbangan ketua audit negara berhubung sebahagian daripada peruntukan pembangunan digunakan untuk membayar hutang matang 11 syarikat tersebut.

Juita Mohamad dari badan pemikir Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) berkata, “isu lapuk” menyelamatkan syarikat seperti itu sepatutnya diselesaikan sebelum menularnya pandemik Covid-19.

Beliau memberitahu FMT bahawa pandemik itu mendedahkan penting tidaknya melabur dalam syarikat tersebut dalam suasana kerajaan perlu mengurangkan kos dan kemelesetan ekonomi global.

“Pembaharuan dalam GLC Malaysia sangat diperlukan,” katanya.

“GLC perlu berdikari. Kerajaan tidak perlu terlibat dalam perniagaan. Wang yang digunakan untuk menyelamatkan syarikat adalah wang daripada cukai. Ini wang rakyat.

“Apabila sumber terhad, anda perlu beri tumpuan kepada perkara yang sepatutnya anda buat, iaitu dengan membiarkan syarikat swasta menjadi lebih cekap dan membolehkan mereka menjalankan aktiviti perniagaan.”

Sebanyak RM5.66 bilion disalurkan kepada 11 syarikat untuk tujuan pembayaran balik pinjaman yang dijamin oleh kerajaan, menurut Laporan Ketua Audit Negara 2019.

Jumlah itu merupakan peningkatan sebanyak RM1.52 bilion berbanding jumlah keseluruhan pada 2018, iaitu RM4.14 bilion.

Juita Mohamad.

Juita berkata GLC adalah perniagaan menarik bagi pelabur domestik dan asing kerana mereka tahu syarikat berkenaan “tidak akan bankrap” kerana kerajaan akan selalu menyelamatkan mereka.

Beliau berkata, banyak GLC tidak telus dengan aktiviti mereka, malah ada yang gagal menerbitkan laporan tahunan mereka.

“Ini membawa kepada sifat tidak bertanggungjawab tanpa semak dan imbang,” katanya.

“Kerugian dalam pelaburan nampaknya semakin berleluasa dalam sistem, yang menunjukkan kualiti kepemimpinan yang ada dalam syarikat ini.

“Projek mereka datang daripada kerajaan, dan ini juga menyuburkan rasuah.”

Antara syarikat yang dinyatakan oleh ketua audit negara dalam laporan itu adalah 1MDB dan bekas anak syarikatnya, SRC International.

Dalam keputusan mahkamah Julai lalu, bekas perdana menteri Najib Razak didapati bersalah atas 7 pertuduhan rasuah berkaitan dengan dana RM42 juta milik SRC International.

Najib juga berdepan 25 pertuduhan penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram berkait dakwaan menerima dana 1MDB sebanyak RM2.28 bilion ke dalam akaun AmBanknya antara Februari 2011 hingga Disember 2014.

Perbicaraan itu akan disambung pada 14 Disember.

Ramon Navaratnam.

Bekas timbalan ketua setiausaha Perbendaharaan Ramon Navaratnam bersetuju bahawa GLC perlu dinilai semula dan menyarankan sifat berhati-lebih dalam perbelanjaan kerajaan.

“Kita perlu mengatasi masalah struktur ini. Laporan AG tepat pada waktunya, dan mesti diakui bahawa terdapat had dalam dana kerajaan. .

“Tetapi oleh sebab kini masa krisis, kita perlu mengeluarkan lebih banyak perbelanjaan walaupun terdapat kekangan dalam bentuk peningkatan defisit dan hutang.

“Oleh itu, kita perlu memastikan sektor swasta memainkan peranan yang lebih besar.

“Kita perlu meminta pelabur asing dan domestik berbelanja lebih banyak dalam usahasama. Perkongsian swasta-awam harus dipertingkatkan secara besar-besaran dalam tempoh ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.