Penjaja di 5 lokasi di Kedah bebas buka gerai mulai Ahad

Penjaja di 5 lokasi di Kedah bebas buka gerai mulai Ahad

Penjaja yang berminat perlu memohon permit perniagaan sementara sebanyak RM10 sebulan sebelum menjalankan perniagaan.

Penjaja di Alor Setar, Sungai Petani, Kubang Pasu, Kulim dan Langkawi boleh menjalankan perniagaan di mana-mana sahaja dengan RM10 sebulan.
ALOR SETAR:
Kerajaan Kedah mewujudkan “kawasan bebas berniaga” kepada penjaja di 5 bandar dan kawasan pentadbiran majlis perbandaran terpilih dan mereka dibenarkan menjual barangan di mana-mana tempat dengan dikenakan caj sebanyak RM10 sebulan mulai Ahad.

Menteri Besar Muhammad Sanusi Nor tidak menyebut tempoh langkah ini akan berjalan, tetapi berkata, ia memberi peluang kepada mereka yang tinggal di Alor Setar, Sungai Petani, Kubang Pasu, Kulim dan Langkawi mencari rezeki dalam masa sukar sekarang.

“Peniaga dan penjaja (yang) memohon permit perniagaan sementara sebanyak RM10 sebulan perlu mematuhi syarat yang termaktub dalam undang-undang kecil penjaja dan gerai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) masing-masing.

“Para peniaga (juga) perlu bertanggungjawab memastikan kebersihan di tapak perniagaan,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Kementerian Wilayah Persekutuan juga membuat pengumuman yang sama dengan membenarkan penduduk di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan bebas menjalankan perniagaan mereka di mana-mana di 3 kawasan itu selama 5 bulan akan datang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.