Penembusan capaian internet golongan B40 di tahap memberangsangkan, kata SKMM

Penembusan capaian internet golongan B40 di tahap memberangsangkan, kata SKMM

Berdasarkan tinjauan penggunaan internet tahun ini, 95.4% individu berpendapatan antara RM1,000 hingga RM3,000 didapati mempunyai langganan internet.

SKMM menjelaskan projek-projek pembinaan dan menambah baik infrastruktur telekomunikasi di bawah inisiatif Jendala yang dijangka selesai tahun 2023 sedang giat dilaksanakan.
KUALA LUMPUR:
Penembusan capaian internet dalam kalangan keluarga B40, sama ada melalui sambungan talian atau mudah alih, ketika ini berada pada tahap memberangsangkan, menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

SKMM menerusi kenyataan hari ini memberitahu berdasarkan tinjauan penggunaan internet tahun ini, 95.4% individu berpendapatan antara RM1,000 hingga RM3,000 didapati mempunyai langganan internet, manakala kadar langganan bagi golongan berpendapatan kurang RM1,000 ialah 82.2%.

“Cabaran yang perlu diberi perhatian ialah kemampuan melanggan pakej data terutamanya bagi golongan B40 yang berpendapatan kurang RM1,000 sebulan, untuk membantu anak-anak yang bersekolah menyelesaikan tugasan di rumah ketika penutupan sekolah di seluruh negara susulan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

“Sebagai langkah mengatasi cabaran itu, semasa pembentangan Belanjawan 2021, kerajaan telah mencadangkan peruntukan kredit telekomunikasi bernilai RM180 seorang (RM15 sebulan) atau bantuan peranti pintar RM180 kepada golongan B40,” menurut SKMM dalam kenyataan hari ini.

Menurut suruhanjaya itu, syarikat-syarikat telekomunikasi turut menyediakan nilai tambah untuk data atau rebat bernilai RM180 itu, namun tertakluk kepada terma dan syarat pakej perkhidmatan.

“Selain itu, syarikat-syarikat telekomunikasi juga akan meneruskan program 1GB data percuma setiap hari sehingga penghujung tahun ini untuk mengakses laman sesawang tertentu termasuk yang berkaitan dengan pembelajaran.

“Kemudahan mengakses internet dalam kalangan komuniti di bandar, pinggir bandar serta luar bandar, terutama untuk pelajar sekolah, turut dimantapkan melalui perkhidmatan 873 Pusat Internet Komuniti yang sedang diuruskan oleh SKMM di seluruh negara,” menurut kenyataan itu.

Mengenai masalah liputan di bandar, pinggir bandar dan pedalaman pula, SKMM menjelaskan projek-projek pembinaan dan menambah baik infrastruktur di bawah inisiatif Jalinan Digital Negara (Jendala) yang dijangka selesai tahun 2023 sedang giat dilaksanakan.

“Dengan terlaksananya Jendala, ia akan memberi impak liputan 4G yang disasar merangkumi 96.9% kawasan berpenduduk daripada tahap 91.8% sekarang, dan ia juga bakal meningkatkan purata kelajuan 4G kepada 30Mbps daripada 25Mbps sebelum ini.

Menurut kenyataan itu, laporan suku pertama status sasaran-sasaran Jendala akan dibentangkan pada pertengahan Disember ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.