
Katanya, langkah itu amat penting supaya pelaksanaannya tidak menjejaskan sektor ekonomi dan aktiviti harian rakyat di kawasan mempunyai jangkitan rendah.
“Pagi tadi saya mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa khas keselamatan negeri (JKKN) dan kerajaan negeri mengesyorkan beberapa perkara iaitu pertama, PKPB yang bermula semalam dilaksanakan secara bersasar di negeri ini.
“PKPB hanya dikuatkuasakan di kawasan atau daerah zon merah yang mempunyai jangkitan tinggi, bukannya di seluruh negeri seperti dilaksanakan sekarang.
“Kedua, kerajaan Johor turut menyarankan SOP khusus kepada kerajaan pusat bagi pembukaan skim ke-3 selepas Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA), iaitu ‘Daily Commuting Arrangement’ (DCA) dengan pihak Singapura,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hasni berkata, walaupun kuasa penuh pembukaan sempadan kedua-dua negara bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan, kerajaan Johor bersedia dengan kapasiti sepatutnya, bagi menjayakan Daily DCA seperti diutarakan.
“Pembukaan skim ke-3 ini amat penting bagi memudahkan lagi pergerakan rakyat Malaysia yang masih berada di Singapura sejak bermula penutupan sempadan Malaysia dan Singapura, 8 bulan lalu.
“Ketiga, mesyuarat hari ini turut mencadangkan tempoh kuarantin bagi rakyat Malaysia yang ingin pulang ke tanah air (yang bukan bawah kategori PCA) hanya menjalani tempoh kuarantin selama 7 hari di pusat kuarantin dan rumah masing-masing,” katanya.
Beliau berharap saranan itu dipertimbangkan segera oleh kerajaan persekutuan demi kebaikan dan kesejahteraan bersama.
Sempadan Malaysia dan Singapura ditutup sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasakan 18 Mac lalu, bagi mengekang penularan Covid-19.
September lalu, Menteri Kesihatan Dr Adham Baba dilaporkan berkata, pembukaan sempadan sepenuhnya Malaysia-Singapura bergantung kepada situasi semasa perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) hingga Disember ini.
Beliau berkata, Kementerian Kesihatan akan meneliti kes dan perkembangan penularan wabak Covid-19 sepanjang tempoh itu sebelum memutuskan pembukaan pintu sempadan berkenaan.