Kanak-kanak tidak bersedia untuk pembelajaran di rumah, kata ibu bapa

Kanak-kanak tidak bersedia untuk pembelajaran di rumah, kata ibu bapa

PAGE berkata sambungan internet terutama bagi isi rumah B40 tidak mencukupi bagi pembelajaran di rumah yang saksama dan bersepadu.

PAGE berkata ibu bapa dan pelajar mahu sekolah dibuka semula dan kanak-kanak kembali ke sekolah dengan SOP yang lebih ketat.
PETALING JAYA:
Sebuah kumpulan ibu bapa mengkritik langkah menutup semua sekolah sehingga hari terakhir persekolahan pada Disember, berikutan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di hampir semua negeri di Semenanjung kecuali Kelantan, Pahang, dan Perlis ekoran peningkatan kes Covid-19.

Kumpulan Bertindak Ibu Bapa Bagi Pendidikan (PAGE) berkata pelajar dan guru tidak bersedia untuk pembelajaran di rumah, yang menurutnya, belum diperbaiki sejak PKP dikuatkuasakan pada Mac.

“Ia masih sama, ia banyak bergantung pada usaha individu seseorang guru itu. Walaupun Kementerian Pendidikan sudah mendirikan suatu platform pembelajaran dalam talian (Delima), kami sebagai ibu bapa tak boleh mengaksesnya,” kata Setiausaha Kehormat Tunku Munawirah Putra kepada FMT.

Memetik laporan Institut Penyelidikan Khazanah (KRI), beliau berkata sambungan internet terutama bagi isi rumah B40 tidak mencukupi bagi pembelajaran di rumah yang saksama dan bersepadu di semua negeri bawah PKPB.

“Bagi isi rumah B40 yang tinggal di kawasan bandar yang mungkin mempunyai sambungan internet dan peranti pun, separuh tiada tempat sesuai untuk belajar.

“Ia bergantung pada kapasiti dan keupayaan sesebuah sekolah dan guru, dan pihak sekolah tidak akan dikenakan tindakan sekiranya gagal menyediakan pengajaran dan pembelajaran (PdP) seperti itu.

“Ibu bapa dan pelajar mahu sekolah dibuka semula dan kanak-kanak kembali ke sekolah dengan SOP yang lebih ketat, termasuk memberi pelitup muka kepada mereka yang tidak berkemampuan.”

Tunku Munawirah berkata penutupan sekolah secara menyeluruh di semua negeri “membazirkan peluang”, kerana guru masih perlu melapor diri.

Beliau berkata beberapa pelajar masih boleh mendapat faedah daripada pengajaran secara bersemuka meskipun kelas dijadikan lebih kecil atau dipendekkan.

“Beberapa pelajar mungkin tidak dapat mengikuti pengajaran dalam talian, yang akhirnya membuatkan mereka hilang minat terhadap persekolahan dan pembelajaran,” katanya, dan mencadangkan jadual sekolah dipendekkan dan kelas diaturkan secara berperingkat, dengan sesi persekolahan diadakan secara berselang hari.

Tunku Munawirah berkata ibu bapa juga bimbang tentang 400,000 pelajar SPM ekoran penangguhan SPM. “Beberapa pelajar belum selesaikan silibus dan mereka bimbang peperiksaan akan berdasarkan silibus penuh,” katanya.

Sementara itu, guru matematik di luar bandar di Kelantan, Mohd Khairul Izuddin Shaari, berkata kebanyakan guru tidak bersedia untuk PdP kerana menganggap tiada lagi pembelajaran di rumah selepas pembukaan sekolah pada Jun.

Beliau berkata pengumuman musim cuti sekolah, yang dibuat pada hujung minggu, “terlalu saat akhir…yang mana kebanyakan sekolah bercuti dan tiada tempoh masa diberikan untuk guru, murid, dan ibu bapa buat persediaan” bagi pengajaran dalam talian.

Khairul juga bersetuju akses internet dan kekurangan peranti masih masalah besar dalam pengajaran dalam talian yang berkualiti, terutama bagi pelajar di sekolahnya, manakala kebanyakan sekolah tidak dilengkapi untuk pengajaran dalam talian.

“Masih banyak lompang yang ada dan perlu ditambah baik sebelum pembelajaran dalam talian dapat dijalankan sepenuhnya. Namun pihak sekolah akan cuba sedaya upaya untuk menyampaikan ilmu walaupun kita melaksanakan pembelajaran di rumah ini,” katanya.

Beliau juga berkata guru-guru risau tentang persiapan pelajar untuk sesi persekolahan akan datang, terutama murid Tahun 6 yang akan masuk sekolah menengah dan kanak-kanak tadika yang akan masuk Tahun 1.

“Dah ada yg mengeluh kerana persediaan dilakukan sehabis baik untuk pelajar-pelajar menghadapi SPM.

“Sekolah dibuka kembali 20 Jan 2021 dan SPM akan bermula 22 Feb 2021. Persiapan murid untuk menghadapi SPM mungkin tak mencukupi.”

KPM semalam mengumumkan semua sekolah bawahnya ditutup bermula hari ini hingga ke hari terakhir persekolahan bagi tahun ini, iaitu 17 dan 18 Dis.

Menteri Kanan (Pendidikan) Radzi Jidin berkata semua murid sekolah rendah perlu memulakan sesi persekolahan secara bersemuka pada 20 Jan tahun depan seperti yang dijadualkan.

Selain itu, pelajar Tingkatan 1, Tingkatan 4, Tingkatan 5, dan Tingkatan 6 serta semua pelajar kolej vokasional akan memulakan persekolahan secara bersemuka pada tarikh yang sama.

Pelajar Tingkatan 2 dan Tingkatan 3 akan memulakan sesi persekolahan pada tarikh yang sama, tetapi secara pembelajaran dalam talian. Mereka hanya dibenarkan kembali ke sekolah untuk sesi pembelajaran secara bersemuka pada 8 Mac.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.