
Menteri Kanan (Pendidikan), Radzi Jidin berkata, keputusan itu dibuat selepas semua sekolah di bawah kementerian berkenaan ditutup sehingga ke tarikh akhir persekolahan tahun ini susulan pelaksanaaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di seluruh negara, melainkan Kelantan, Pahang, Perlis dan Sarawak.
“Tentunya calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) tahun 2020 tertanya-tanya sama ada perkembangan situasi ketika ini memberi kesan kepada mereka.
“Mengambil kira situasi semasa, KPM membuat keputusan untuk meminda tarikh peperiksaan berkaitan.
“Peperiksaan SPM/SVM/STAM akan bermula pada 22 Februari 2021, manakala peperiksaan STPM pula akan bermula pada 8 Mac 2021.
“Perincian tentang semua peperiksaan awam ini akan dimaklumkan dalam masa yang terdekat,” katanya pada sidang media hari ini.
Radzi berkata, peperiksaan percubaan SPM, kerja kursus serta pentaksiran yang dijadualkan sehingga Dis 2020 akan dijadualkan semula.
Katanya, bagi membantu calon peperiksaan awam tahun 2020 membuat persediaan secukupnya sebelum menduduki peperiksaan, KPM memutuskan mereka akan menyambung persekolahan secara bersemuka di sekolah masing- masing mulai 20 Jan 2021.
“KPM berharap ruang yang ada ini akan dapat memberi manfaat kepada calon yang terkesan dengan penutupan sekolah.
“Kesemua ketetapan ini juga terpakai kepada sekolah swasta dan mana-mana institusi pendidikan yang berdaftar dengan KPM.
“Bagi sekolah yang tidak berdaftar dengan KPM pula, mereka juga disaran untuk mengikuti ketetapan ini,” katanya.
Mengulas status kemasukan murid ke sekolah khusus, termasuk Sekolah Berasrama Penuh, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama, Sekolah Menengah Teknik, Kolej Vokasional dan Maktab Tentera Di-Raja beliau berkata, pelaksanaan Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) bagi Tingkatan 1 dan Tingkatan 4 ditangguhkan kepada suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.
Bagaimanapun katanya, penjadualan semula peperiksaan awam tidak akan menjejaskan kemasukan pelajar ke institusi peringkat tertiari awam serta institusi pengajian tinggi awam melalui sistem UPUOnline yang dikendalikan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
Terdahulu hari ini, KPM mengumumkan penutupan semua sekolah di bawah selaiannya bermula esok hingga ke hari terakhir persekolahan bagi tahun ini.