Kita serius rangka pelan induk digital tangani isu data, kata MB Johor

Kita serius rangka pelan induk digital tangani isu data, kata MB Johor

Hasni Mohammad dalam respons terhadap laporan FMT mengakui kesiapsiagaan data amat penting pada zaman ini dan akan memperbaiki perkara itu.

Menteri Besar Johor Hasni Mohammad berkata data golongan B40 dan M40 dalam pelbagai kelas sosial mahupun ekonomi harus dikumpulkan. (Gambar Bernama)
JOHOR BAHRU:
Kerajaan negeri sedang merangka pelan induk digital Johor dalam usaha menangani masalah simpanan data kelompok golongan yang memerlukan terutama B40 dan M40.

Menteri besar Hasni Mohammad berkata, data golongan terbabit dalam pelbagai kelas sosial mahupun ekonomi harus dikumpulkan.

Katanya, tanpa data itu bantuan bersasar tidak boleh dimanfaatkan golongan yang benar-benar memerlukan.

“Kita harus akui kesiapsiagaan data amat penting zaman ini. Setiap tindakan, polisi dan pertimbangan harus berteraskan data yang sahih dan terbukti.

“Kita bukan sahaja mengakui, tapi kita akan memperbaiki. Atas kesedaran inilah, saya bersama Penjawat Awam Johor (JCS) sedang merangka ‘Johor Digital Masterplan’ dengan serius sekali.

“Akhirnya, segenap rakyat boleh dibantu dan kecekapan penyampaian kerajaan negeri dapat ditingkatkan. Kita perlukan data untuk Johor terus melangkah ke hadapan,” katanya dalam respons terhadap laporan FMT di laman rasmi Facebooknya hari ini.

Terdahulu, FMT melaporkan Hasni mengakui kegagalan dan kelemahan sistem penyimpanan data kumpulan kurang berkemampuan menjadi punca barisan pentadbirannya tidak dapat mentadbir dengan berkesan.

Beliau turut menegaskan, pasti sukar jika pentadbirannya meminta data mengenai kumpulan individu atau isi rumah M40 daripada pegawai daerah berikutan tiada simpanan dan sistem perkongsian data yang baik.

Hasni turut kesal dan kecewa tidak dapat membantu pemohon bantuan tunai daripada kerajaan.

“Daripada 200,000 hanya kira-kira 40,000 sahaja yang menerima manfaat (bantuan tunai). Saya akan tambah baik, saya dan pegawai kewangan negeri akan duduk untuk lihat cara terbaik selesaikan perkara ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.