
Menterinya Rina Harun berkata, daripada keseluruhan aduan itu Selangor dan Johor merupakan negeri tertinggi mencatatkan kes dengan masing-masing 375 dan 264 aduan.
Bercakap kepada media selepas melawat depot keperluan bencana zon selatan di Parit Keroma hari ini, beliau berkata aduan diterima menerusi Talian Kasih 15999 itu melibatkan kes keganasan fizikal, emosi dan seksual.
“Sebab itu dalam Belanjawan 2021, kita menyediakan pusat sokongan sosial setempat untuk memberikan perlindungan kepada mangsa yang mana projek rintisnya akan dimulakan di Johor dan Selangor,” katanya.
Pembentangan Belanjawan 2021 pada Jumaat menyaksikan antara lain kerajaan mengumumkan peruntukan RM21 juta bagi menyediakan pusat sokongan sosial setempat sebagai usaha menangani isu keganasan rumah tangga.
Pusat yang akan dikendali dengan kerjasama badan bukan kerajaan itu menyediakan perlindungan sosial serta sokongan moral kepada golongan wanita bagi mendepani masalah keganasan rumah tangga, penceraian dan penderaan.
Dalam perkembangan lain, Rina berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan menambah baik persiapan untuk menghadapi banjir di seluruh negara tahun ini supaya selari dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan untuk membendung penularan pandemik Covid-19.
Beliau berkata, penambahbaikan itu antara lain termasuk tidak lagi menyediakan makanan kepada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) secara gotong-royong sebaliknya membekalkan pek makanan kepada mereka dan menambah bilangan PPS di seluruh negara.
“Tahun lepas, jumlah PPS di seluruh negara sebanyak 5,422 dengan Johor sahaja mempunyai 679 buah. Kali ini, bilangannya akan kita tambah kira-kira 10% bergantung kepada keperluan, kawasan dan jangkaan cuaca Jabatan Meteorologi,” katanya.
Rina berkata, JKM juga akan menyediakan katil khas untuk mangsa yang bergejala batuk dan demam bagi membolehkan mereka diasingkan daripada mangsa lain di pusat pemindahan.
“Pada masa sama, kita turut akan menempatkan 1 atau 2 keluarga di setiap bilik darjah sekolah yang dijadikan sebagai PPS, bergantung kepada saiz kelas,” katanya.
Beliau berkata, persiapan banjir kali ini secara keseluruhan akan melibatkan peruntukan kira-kira RM65 juta dan memberi jaminan barangan keperluan untuk mangsa setakat ini mencukupi.