
Berdasarkan laporan itu, jumlah hasil dijangka terjejas dengan ketara dipengaruhi oleh pengurangan terimaan perniagaan, perdagangan, dan pelancongan berikutan sekatan pergerakan di seluruh dunia yang mengurangkan perdagangan global dan mengehadkan pergerakan individu.
“Meskipun terdapat impak Covid-19 dan purata harga minyak mentah dianggarkan lebih rendah iaitu AS$40 setong, namun kutipan cukai dijangka terus menjadi penyumbang utama pendapatan kerajaan persekutuan dengan anggaran kutipan sebanyak RM153.3 bilion atau 67.4% daripada jumlah keseluruhan hasil iaitu lebih rendah daripada purata lima tahun sebelumnya iaitu 75.8%,” menurut laporan itu.
Jumlah hasil sebagal peratusan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijangka lebih rendah iaitu 15.8% dengan hasil cukai sebanyak 10.6% manakala hasil bukan cukai 5.2%, jelasnya.
Cukai langsung yang merangkumi 50.6% daripada jumlah hasil dijangka berkurangan sebanyak 14.6% kepada RM115.1 bilion daripada RM134.7 bilion pada 2019, menurut laporan itu.
Cukai pendapatan syarikat (CITA) yang merupakan penyumbang utama kepada jumlah hasil dianggarkan lebih rendah kepada RM59.4 bilion (2019: RM63.7 bilion) iaitu pengurangan sebanyak 21% berbanding anggaran asal RM75.5 bilion.
“Cukai pendapatan indívidu dijangka berkurangan sebanyak 4% kepada RM35.9 bilion dengan faktor utama yang menjejaskan prestasi kutipan termasuk pemberhentian pekerja serta pengurangan gaji,” menurutnya.
Cukai pendapatan petroleum (PITA) diunjurkan berkurangan dengan ketara sebanyak 58.9% kepada RM8.5 bilion (2019: RM20.8 bilion) seiring dengan anggaran purata harga minyak mentah dan permintaan yang rendah.
Menurut laporan itu, cukai tidak langsung yang menyumbang 16.8% kepada jumlah keseluruhan hasil dianggarkan berkurangan sebanyak 19.4% kepada RM38.1 bilion berbanding anggaran asal RM47.3 bilion dengan semua komponen dijangka mencatat kutipan lebih rendah.
Cukai jualan dan perkhidmatan (SST) diunjurkan mencatat RM24.5 bilion (2019: RM27.7 bilion) dengan kutipan cukai jualan diunjurkan berkurangan 21.4% kepada RM12.1 bilion (2019:RM15.4 bilion).
Ini selaras dengan inisiatif kerajaan memberikan pengecualian cukai ke atas pembelian kereta penumpang yang dipasang dalam negara dan kereta yang diimport sepenuhnya bawah pakej Pelan Jana Semula Ekonomi Negara, katanya.
Menurut laporan itu, hasil bukan cukai diunjurkan mencatatkan RM74 bilion (2019: RM83.8 bilion) terutama disumbangkan oleh dividen Petronas yang lebih tinggi iaitu RM34 bilion dengan RM10 bilion merupakan bayaran khas, terutama daripada pelupusan pelaburan pada 2019.
Kerajaan menerima RM3.5 bilion daripada Bank Negara dan dijangka menerima dividen daripada Khazanah Nasional Bhd sebanyak RM2 bilion, jelasnya.
Di samping itu, bayaran khas sebanyak RM5 bilion diterima daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) untuk membiayai sebahagian bayaran persaraan tahun semasa.
Selain itu, terimaan daripada lesen dan permit dijangka berkurangan sebanyak 8.7% kepada RM13.2 bilion (2019: RM14.5 bilion) disebabkan oleh terimaan royalti petroleum yang lebih rendah.
Menurut laporan itu, hasil berkaitan petroleum dijangka berkurangan sebanyak 40.3% kepada RM50 bilion (2019: RM83.8 bilion) pada 2020 terutamanya disebabkan oleh pengurangan dividen khas bagi tujuan bayaran balik tunggakan cukai dan PITA sebanyak RM8.5 bilion serta royalti RM4.2 bilion berikutan pengurangan harga minyak mentah dunia.
Oleh itu, peratusan hasil berkaitan petroleum juga dijangka berkurangan daripada 31.7% pada 2019 kepada 22 peratus pada 2020, jelasnya.
Menurut laporan itu, dengan mengambil kira impak ketara daripada kelembapan ekonomi, hasil bukan petroleum dijangka berkurangan sebanyak 1.8% kepada RM177.3 bilion (2019: RM180.6 bilion) yang diimbangi oleh bayaran khas daripada entiti kerajaan.
Hasil bukan petroleum dijangka meningkat 0.3 mata peratusan kepada 12.3% daripada KDNK berbanding 2019 (12 peratus), menurutnya.