
Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ia termasuk pelaksanaan pelbagai program peningkatan kemahiran dan latihan semula, melalui perbelanjaan kerajaan berjumlah RM3.7 bilion.
“Kadar purata pengangguran sejak 10 tahun lalu merekodkan 3.2% atau sekitar 500,000 penganggur, berikutan pendemik Covid-19, ia meningkat kepada 5.3% atau 820,000 penganggur pada Mei 2020 iaitu tertinggi sejak 1989.
“Melalui pembukaan semula ekonomi dan pelaksanaan inisiatif Prihatin dan Penjana, kadar pengangguran turun kepada 4.7% pada Ogos 2020,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata, kerajaan juga akan meneruskan usaha pengambilan pekerja bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang kini dikenali sebagai PenjanaKerjaya menerusi 4 insentif dengan peruntukan RM2 bilion.
Katanya, bagi insentif pertama adalah untuk kumpulan pekerja bergaji RM1,500 ke atas yang mana akan dinaikkan daripada kadar rata RM800 sebulan kepada 40% daripada gaji bulanan, terhad kepada insentif maksimum RM4,000 sebulan.
Bagi insentif ke-2 pula, majikan akan diberi insentif tambahan sebanyak 20%, menjadikan keseluruhan insentif majikan berjumlah 60% untuk menggalakkan peluang pekerjaan kepada golongan orang kurang upaya (OKU), penganggur jangka panjang dan pekerja diberhentikan.
“Untuk insentif ke-3 pula, sektor dengan kebergantungan tinggi kepada pekerja asing seperti pembinaan dan perladangan, akan diberi insentif khas sebanyak 60% daripada gaji bulanan dengan 40% disalurkan kepada majikan dan 20% kepada pekerja tempatan yang menggantikan pekerja asing.
“Ketiga-tiga insentif ini akan diberikan untuk tempoh 6 bulan,” katanya.
Selain itu, beliau berkata menerusi insentif ke-4, mereka yang diambil bekerja bawah PenjanaKerjaya, kos maksimum program latihan yang layak dituntut majikan akan dinaikkan daripada RM4,000 kepada RM7,000 bagi menjalani program kemahiran tinggi atau sijil profesional.