Tingkat perbelanjaan bantuan, jangan benar keluar simpanan KWSP, Putrajaya diberitahu

Tingkat perbelanjaan bantuan, jangan benar keluar simpanan KWSP, Putrajaya diberitahu

Ahli ekonomi berkata, simpanan persaraan tidak boleh dilihat sebagai solusi bagi kehilangan pendapatan.

Pakar berkata, kerajaan perlu memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan, bukannya membiarkan mereka menggunakan simpanan KWSP.
PETALING JAYA:
Seorang ahli ekonomi menggesa kerajaan meningkatkan perbelanjaan bantuan bagi membantu kewangan golongan yang terdesak, tetapi tidak membenarkan rakyat mengeluarkan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mereka.

Firdaos Rosli dari Malaysian Rating Corporation (MARC) berkata, tidak dinafikan banyak pihak yang memerlukan bantuan segera dan wang itu perlu datang daripada kerajaan, bukannya simpanan persaraan mereka.

Jelasnya, KWSP tidak boleh dilihat sebagai solusi bagi kehilangan pendapatan.

“Bantuan kepada rakyat perlu ditanggung oleh dana negara, baik melalui percukaian, hutang atau sumbangan daripada syarikat yang berkaitan kerajaan (GLC),” katanya.

“Solusinya adalah dengan mengagihkan semula kekayaan dan ia harus datang daripada kerajaan, yang boleh meningkatkan perbelanjaannya dan tidak perlu terlalu bimbang tentang hutang pada ketika ini.”

Firdaos berkata, kerajaan boleh memberi perhatian pada konsolidasi fiskal selepas Covid-19 tidak lagi menjadi ancaman, dengan menegaskan bahawa kadar hutang kepada KDNK Malaysia lebih tinggi pada 1990-an.

Semalam, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata, Putrajaya sedang mengkaji cadangan pengeluaran simpanan daripada Akaun 1 KWSP.

Firdaos Rosli.

Firdaos berkata, pengeluaran KWSP hanya boleh dibenarkan bagi aktiviti yang memaksimumkan kapasiti perolehan atau kekayaan pencarum sepanjang hayat kerja mereka.

Katanya, kerajaan perlu mempertimbangkan kajian yang menunjukkan sebanyak 80% pencarum KWSP gagal memenuhi sasaran simpanan minimum sekitar RM240,000 pada usia persaraan.

“Sekiranya simpanan mereka tidak mencukupi, pesara semakin bergantung pada perkhidmatan awam seperti penjagaan kesihatan, perumahan dan bantuan tunai,” katanya.

Ini akan membawa kepada risiko defisit fiskal lebih besar bagi menyokong populasi menua yang semakin meningkat.

Beliau memetik statistik rasmi yang menunjukkan 15% penduduk Malaysia akan berusia lebih tua daripada 60 tahun dalam tempoh 15 tahun akan datang.

“Dengan andaian bahawa usia persaraan kekal seperti sekarang, ahli KWSP berumur 45 tahun ke atas perlu bekerja lebih keras untuk menambah simpanan dan mengganti simpanan dan pulangan mereka yang dilepaskan hari ini,” katanya.

Katanya, cadangan membenarkan pengeluaran tidak akan menguntungkan semua orang kerana 8.3% daripada jumlah tenaga kerja terdiri daripada mereka yang berada di sektor tidak rasmi yang tidak mencarum KWSP.

“Inilah sebabnya adalah lebih baik bagi kerajaan membelanjakan wang untuk membantu mereka yang memerlukan. Ini akan memastikan semua orang terjaga dengan lebih baik,” tambah Firdaos.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.