
Presiden Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) Abang Helmi Ikhwan berkata, sektor pembinaan dan pembangunan hartanah terjejas kerana kekurangan pekerja susulan kerap berlaku kelewatan dalam pembaharuan permit kerja dan prosedur kemasukan yang ketat ke negeri itu.
Katanya, kerana terdapatnya laporan mengenai kehadiran pekerja haram di tapak kerja, kerajaan perlu memberi mereka permit kerja tanpa perlu menghantar mereka pulang.
“Kita sedar pemberian permit kerja kepada pekerja haram mungkin sensitif, tetapi sekurang-kurangnya ini perlu dipertimbangkan berikutan krisis ekonomi yang belum pernah terjadi sebelum ini akibat pandemik,” katanya kepada FMT.
Abang Helmi turut menggesa kerajaan supaya melanjutkan pakej rangsangan ekonomi hingga ke pertengahan tahun depan untuk membantu aliran tunai perniagaan.
Beliau berkata kerajaan perlu meneruskan pakej bantuan dan subsidi, dan menambah peruntukan kepada PKS Bumiputera.
“Kerajaan mengambil langkah baik dalam memerangi Covid-19 untuk melindungi kesihatan rakyat, tetapi ia juga perlu proaktif untuk menggerakkan aktiviti perniagaan.
“Ia perlu mengkaji semula SOP di sektor tertentu. Peraturan penjarakan fizikal boleh dilonggarkan, misalnya di restoran dan gerai makanan dan pasar,” katanya.
Abang Helmi berkata, ahli dewan yang terjejas teruk akibat wabak itu, termasuk mereka dalam industri pelancongan, makanan dan minuman, serta pengusaha pusat tuisyen dan tadika.
Baru-baru ini, Ketua Menteri Abang Johari Openg dilaporkan berkata, Sarawak berdepan kekurangan 5,000 pekerja asing di sektor pembinaan, menyebabkan beberapa projek besar ditangguhkan selama 3 hingga 4 bulan.
Katanya, kebanyakan mereka pulang ke negara asal ketika tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP), dan ramai yang tidak dapat masuk semula ke negeri itu berikutan sekatan perjalanan dan prosedur masuk.