Kerajaan akan fikir ‘keperluan’ nasihat Agong isytihar darurat di Batu Sapi, Sarawak, kata Takiyuddin

Kerajaan akan fikir ‘keperluan’ nasihat Agong isytihar darurat di Batu Sapi, Sarawak, kata Takiyuddin

PRK Batu Sapi ditetapkan pada 5 Dis ini dan PRN Sarawak mesti diadakan selewat-lewat Jun tahun depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Takiyuddin Hassan berkata, mengikut perlembagaan, Agong boleh mengisytiharkan darurat di seluruh negara atau mana-mana bahagiannya.
KUALA LUMPUR:
Kerajaan berkata, ia akan memikirkan keperluan untuk menasihati Yang Di-Pertuan Agong ketika Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah untuk mengisytiharkan darurat bagi kawasan Parlimen Batu Sapi dan negeri Sarawak berikutan pilihan raya akan diadakan dalam masa terdekat di situ.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Takiyuddin Hassan berkata demikian menjawab soalan ahli Parlimen (Pasir Gudang-PKR), Hassan Karim yang bertanya sama ada kerajaan pusat bercadang menghadap Agong sekali lagi untuk mendapat perkenan supaya diisytiharkan darurat di kawasan tertentu seperti pilihan raya Batu Sapi dan Sarawak.

Hasan berkata, ini bagi menangguhkan kedua-dua pilihan raya itu.

Takiyuddin berkata, mengikut perlembagaan langkah itu boleh dilakukan.

“Sekiranya dirasakan perlu, mungkin kerajaan akan fikir. Kalau tidak keseluruhan, adalah mana-mana bahagian daripada perlembagaan. Pokoknya dari segi perlembagaan, ia dibolehkan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, Takiyuddin berkata, mengikut Perkara 150 adalah jelas Agong mempunyai kuasa untuk mengisytiharkan darurat di seluruh negara atau mana-mana bahagiannya.

PRK Batu Sapi ditetapkan pada 5 Dis ini dan PRN Sarawak berkemungkinan diadakan pada bila-bila masa.

Menurut Fasal 1 Perkara 54 perlembagaan persekutuan, pilihan raya mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas terdapat kekosongan bagi sesuatu kerusi Parlimen.

Sementara itu, Fasal 4 Perkara 21 perlembagaan negeri Sarawak juga memperuntukkan pilihan raya negeri hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN), iaitu selewat-lewatnya pada Jun tahun depan.

Dalam perkembangan lain, Takiyuddin berkata, kos bagi pelaksanaan pilihan raya negeri (PRN) Sabah adalah sebanyak RM130 juta.

Katanya, ini merangkumi perolehan pembelian, sewaan peralatan pilihan raya, keperluan peralatan, sistem ICT, logistik, elaun petugas pilihan raya dan keperluan lain yang berkaitan.

“Perbelanjaan ini turut mengambil kira keperluan peralatan dan mengikut garis panduan pencegahan Covid-19,” katanya.

Beliau menjawab soalan ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng yang meminta kerajaan menyatakan kos yang disalurkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya, agensi kerajaan lain seperti polis, Jabatan Penerangan dan sebagainya untuk mengendalikan pilihan raya negeri Sabah baru-baru ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.