Belanjawan: Kumpulan pendidik mahu bantuan peranti mudah alih, elaun khas

Belanjawan: Kumpulan pendidik mahu bantuan peranti mudah alih, elaun khas

Ikatan Guru-guru Muslim mahu elaun khas untuk guru membeli peranti pengajaran dan kos internet, manakala Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan berharap kerajaan mewujudkan jawatan gred DG56.

Ikatan Guru-guru Muslim meminta kerajaan menambah peruntukan untuk meningkatkan capaian internet di sekolah, khasnya di kawasan pedalaman.
PETALING JAYA:
Sebuah kumpulan pendidik meminta kerajaan menyediakan bantuan peranti mudah alih secara bersasar menerusi Belanjawan 2021 bagi membolehkan pelajar mengikuti pembelajaran dalam talian ketika penularan Covid-19.

Presiden Ikatan Guru-guru Muslim (iGuru), Mohd Azizee Hasan berkata, bantuan itu boleh disalurkan kepada pelajar B40 dan M40 yang layak mengikut pendapatan garis kemiskinan nasional terkini.

Mereka juga mahu bantuan atau elaun khas diberikan kepada guru, seperti baucar bernilai RM1,000 bagi tujuan pembelian peranti pengajaran dan kos internet yang perlu ditanggung guru ketika pengajaran dan pembelajaran (PdP) di rumah.

“Bantuan khas ini mampu meningkatkan profesionalisme guru ketika penularan Covid-19, selain menjadi pembakar semangat kepada mereka berdepan cabaran mengajar ketika krisis kesihatan ini,” katanya kepada FMT.

Azizee turut mengesyorkan kerajaan menambah peruntukan untuk capaian internet di sekolah, khasnya di kawasan pedalaman.

“Peruntukan besar dalam kategori ini akan membawa impak besar kepada pelajar luar bandar yang sering kali terkebelakang dari segi manfaat penggunaan internet.”

Sementara itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Amiruddin Awang berharap kerajaan mewujudkan jawatan gred DG56 untuk guru yang berada di gred DG54 lebih 3 tahun.

“Ketika pemerintahan Najib Razak, pada 4 Apr 2018, beliau mengumumkan untuk mewujudkan gred DG56 khusus untuk guru yang telah 5 tahun berada di gred DG54 mulai 1 Jan 2019, namun ia tidak dilaksanakan kerajaan baru ketika itu (Pakatan Harapan).

“Ini kerana gred tertinggi guru bagi kenaikan pangkat secara ‘time based’ ialah DG54, ia akan mati di situ. Jadi, dalam Belanjawan 2021 nanti, diharapkan suara NUTP dapat direalisasikan kerajaan Perikatan Nasional.”

Kerajaan persekutuan dijadual membentangkan Belanjawan 2021 di Parlimen esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.