Semua dana Perkeso dibayar kepada pekerja, kata Malindo

Semua dana Perkeso dibayar kepada pekerja, kata Malindo

Syarikat penerbangan itu tidak menyimpan sebahagian daripada pengeluaran seperti didakwa.

Malindo Air berkata “hampir tiada pendapatan” selama 8 bulan lalu.
PETALING JAYA:
Malindo Air berkata syarikat itu mengagihkan semua dana diterima daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan tidak menyimpan sebahagian pengeluaran tersebut, sekali gus menyangkal dakwaan disifatkan sebagai “tidak berasas”.

Dalam kenyataan hari ini, syarikat penerbangan itu memperincikan pembayaran dibuat kepada kakitangan setakat ini, termasuk RM1,267,200 pada pertengahan Mei dan RM1,486,800 akhir Jun bawah Program Pengekalan Pekerjaan (ERP).

Katanya, selepas ERP dihentikan dan diganti dengan Program Subsidi Upah, sejumlah RM235,200 lagi diterima syarikat penerbangan itu dan diagihkan kepada kakitangan.

Kenyataan itu turut menyebut semua kakitangan yang dibayar dikekalkan selama lebih dari 3 bulan mengikut peraturan kedua-dua skim tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif Malindo Air Mushafiz Mustafa Bakri berkata, pendapatan sejak Mac lalu hanya 7.5% daripada tahap pra-pandemik, “yang memberi kesan buruk terhadap kewangan kami”.

“Bagaimana anda terus mengekalkan status quo 8 bulan dan masih menghitung, ketika hampir tiada sebarang hasil atau sebarang bentuk sokongan?” katanya.

Bagi menjimatkan kos, Malindo mengurangkan kakitangannya dengan memindahkan 20 pesawat dan melaksanakan skim pemisahan sukarela (VSS) kepada 349 kakitangan serta skim tanpa gaji jangka panjang untuk 439 kakitangan lagi.

Bagaimanapun, seramai 1,861 kakitangan dilaporkan diberhentikan, tanpa rancangan segera untuk memulakan semula operasi.

Dalam pada itu, syarikat penerbangan itu bekerjasama rapat dengan Menteri Sumber Manusia M Saravanan, Ketua Pengarah Jabatan Perhubungan Perusahaan Khalid Jali, Jabatan Buruh, Perkeso dan Tabung Pembangunan Sumber Manusia bagi membantu kakitangan terjejas untuk dilatih semula dan diberi latihan kemahiran.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.