
Oleg Pulatov ialah seorang daripada 4 tertuduh dalam perbicaraan tanpa hadir di sebuah mahkamah Belanda ke atas nahas pesawat Malaysia Airlines itu, yang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ketika ia ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai 2014.
Penyiasat berkata, satu misil BUK era Soviet dilepaskan pemberontak pro-Rusia digunakan untuk menembak jatuh pesawat itu, yang mengorbankan semua 298 anak kapal dan penumpang, termasuk 196 warga Belanda.
“Tidak, saya tidak pernah nampak satu misil BUK dan saya juga boleh kata dengan pasti tiada BUK yang kelihatan,” kata Pulatov, satu-satunya tertuduh yang diwakili peguam dalam sebuah rakaman video.
Katanya, “tiada BUK atau sebarang arahan berkaitan BUK yang disebut” dalam pertemuannya dengan pemberontak lain pada hari kejadian.
Kali pertama dia dengar mengenai nahas itu ketika askarnya “memberitahu saya tentang berita terbaru itu, sebuah pesawat terhempas dekat Donetsk”, katanya dalam video yang dimainkan kepada mahkamah berdekatan Lapangan Terbang Schiphol, di mana pesawat malang itu berlepas.
“Orang-orang saya dari sana memberitahu mereka memintas banyak panggilan di mana mereka terdengar mayat manusia jatuh dari langit,” kata Pulatov.
Selain Pulatov, 3 tertuduh lain ialah 2 warga Rusia, Igor Girkin dan Sergei Dubinsky serta seorang warga Ukraine, Leonid Kharchenko — semuanya ialah watak utama dalam kalangan pemberontak pemisah yang melawan Kiev.
Pulatov ialah bekas tentera pasukan khas Rusia dan salah seorang timbalan Dubinsky yang didakwa membantu memindahkan sistem misil dari pangkalannya di Rusia ke Ukraine.
Penyiasat berkata, mereka masih mengesan kru lain BUK itu, dari Briged Misil Anti-Pesawat ke-53 tentera Rusia yang berpangkalan di bandar Kursk.
Perbicaraan itu yang bermula Mac lalu, masih di peringkat pendengaran hujah pembelaan berhubung bukti.