Sabah harap negara jiran buka sempadan, terima tahanan selepas Covid-19 reda

Sabah harap negara jiran buka sempadan, terima tahanan selepas Covid-19 reda

Buat masa ini bukan saja pintu sempadan di negara terbabit ditutup malah laluan sempadan ke negeri itu juga ditutup dari dimasuki warga asing.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Masidi Manjun berkata jumlah kes Covid-19 di pusat tahanan sementara Kota Kinabalu dan Tawau menunjukkan penurunan ketara hari ini.
KOTA KINABALU:
Kerajaan negeri berharap negara jiran akan membuka semula pintu sempadan mereka untuk menerima tahanan pendatang asing tanpa izin (PATI) apabila keadaan Covid-19 bertambah baik.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Masidi Manjun berkata, buat masa ini bukan saja pintu sempadan di negara terbabit ditutup, malah laluan sempadan ke negeri itu juga ditutup dari dimasuki warga asing.

“Setakat ini tiada kapal atau pengangkutan yang beroperasi di kedua-dua kawasan ini (Sabah dan negara jiran).

“Kita kena tunggu sehingga keadaan bertambah baik dan diharapkan mereka juga akan buka sempadan untuk menerima semula rakyat mereka yang ditahan di rumah merah (pusat tahanan sementara),” katanya pada sidang media perkembangan Covid-19 di Sabah hari ini.

Terdahulu, Pengarah Majlis Keselamatan Negera (MKN) Sabah Sharifah Sitti Saleha Habib Yussof berkata, keengganan negara jiran menerima tahanan warganegara mereka menjadi punca pusat tahanan sementara (PTS) di Sabah sukar mengurangkan jumlah PATI yang ditahan.

Katanya, ia berikutan penutupan sempadan oleh negara terbabit khususnya Filipina dan Indonesia susulan kebimbangan penularan Covid-19 di sana.

Bagaimanapun, beliau berkata rundingan dengan Kedutaan Filipina dan Indonesia kini masih berterusan supaya negara berkenaan menerima tahanan warganegara mereka yang disahkan bebas Covid-19.

Sementara itu, Masidi berkata jumlah kes Covid-19 di PTS Kota Kinabalu dan Tawau menunjukkan penurunan ketara hari ini.

Katanya, PTS Kota Kinabalu di Manggatal hanya mencatat 11 kes manakala PTS Tawau tidak mencatatkan kes baharu hari ini.

“Bagaimanapun kita perlu ingat, masih banyak lagi ujian saringan yang belum diproses dan tidak mustahil 2 kluster ini akan sekali lagi meningkat dalam beberapa hari ini,” katanya.

Sebelum ini, kluster PTS Tawau dan kluster rumah merah (PTS Kota Kinabalu) menjadi penyumbang terbesar peningkatan mendadak kes Covid-19 di Sabah dengan kluster rumah merah turut mencatat 229 kes baharu, semalam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.