
Aliakbar pernah menegur ketua dewan ulama PAS itu dengan mengingatkannya perkataan digunakan di Dewan Rakyat tidak sesuai dengan konteks penduduk di Sabah serta Sarawak yang berbilang kaum dan agama.
Malah beliau turut melahirkan kebimbangan ia akan memberi masalah dan membuatkan PAS terpinggir di Sabah.
“Nik Muhammad Zawawi berjiwa besar, tidak mudah untuk tarik balik kenyataan yang sudah kita lepaskan. Saya percaya, permohonan maaf itu akan memberi lembaran yang lebih luas bagi PAS Sabah. Walaupun kita tidak mencari siapa benar dan siapa salah.
“Tetapi dalam konteks PAS Sabah, inilah yang kita kehendaki kerana kita mempunyai masyarakat pelbagai agama dan kaum. Keadaan seperti ini sensitif dan permohonan maaf inilah yang diperlukan, perdamaian perlu lebih diutamakan berbanding dengan konflik,” katanya kepada FMT.
Aliakbar berharap tindakan Zawawi itu akan diikuti ahli politik lain, yang menurutnya bersedia mengakui kesilapan dilakukan.
“Tumpuan kita bukan mahu wujudkan konflik dan ketidakharmonian. Kalau kita bersatu padu, saya percaya kemajuan dan kejayaan itu mampu kita capai secara bersama,” katanya.
Semalam, Zawawi menarik balik perkataan “dipesongkan” dan “diubah” ketika merujuk kepada kitab Injil yang diikuti penganut Kristian, serta memohon maaf sekiranya ia mengguris perasaan.
Wakil rakyat Pasir Puteh itu berkata, beliau tidak berniat memburukkan mana-mana agama, dan menjelaskan niat sebalik kenyataannya. Zawawi sebelum ini membuat kenyataan itu ketika perbahasan rang undang-undang mengusulkan denda lebih berat kepada pesalah yang memandu bawah pengaruh alkohol.
Sementara itu, Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) yang merupakan sebahagian sayap parti itu berharap permohonan maaf Zawawi tidak dijadikan sebagai isu politik yang akan digunakan untuk menyerang mana-mana pihak.
“Saya tidak rasa permohonan maaf ini tamparan buat PAS. Jika kita buat salah, apa salahnya minta maaf,” kata Ketua DHPP Senator N Balasubramaniam.