
Nufam berkata, Saravanan sebagai seorang menteri seharusnya bersikap tidak berat sebelah dan apabila kenyataannya dikeluarkan, memperlihatkan beliau mencampuri urusan pembuangan pekerja dilakukan oleh syarikat.
“Soalannya di sini, adakah wajar kenyataan tersebut dikeluarkan seorang meteri bagi pihak pengurusan syarikat. Mengapa pula menteri seolah-olah membuat kenyataan tersebut menyentuh isu kontrak pekerja.
“Adakah surat atau notis menyatakan kontrak pekerja sudah terputus sudah dikeluarkan oleh pihak majikan kepada pekerja ini. Ini juga menyebabkan banyak kekeliruan dan lebih mengeruhkan keadaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Saravanan dalam kenyataan hari ini berhubung bantuan diberikan kementeriannya terhadap kakitangan syarikat itu berkata, pekerja yang dicutikan selama setahun hingga tahun depan, kontrak mereka sama sekali terputus.
“Seramai 439 kakitangan Malindo Airways yang menerima notis cuti tanpa gaji untuk tempoh setahun, mereka boleh menganggap bahawa kontrak perkhidmatan mereka sudah terputus.
“Seterusnya mengemukakan tuntutan kehilangan pekerjaan di bawah Sistem Insurans Pekerjaan, supaya mereka mendapat bantuan untuk kelangsungan hidup sementara mendapat pekerjaan baharu,” katanya.
Kesatuan itu berkata, ramai antara pekerja yang sudah dicutikan sejak awal Ogos 2019 masih tidak dimaklumkan mengenai ‘terputusnya’ kontrak mereka bersama syarikat Malindo Airways.
“Ramai pekerja yang dihentikan meluahkan perasaan marah dan ketidakpuasan hati terhadap kenyataan Saravanan. Nufam juga akan menulis bantahan dengan membawa isu ini ke perhatian menteri,” katanya.
Dilaporkan, syarikat penerbangan itu akan beroperasi pada skala lebih kecil dan terpaksa mengurangkan sehingga 2,200 pekerjanya.