
Pengarah Eksekutif Dental Republik Dr Nik Ahmad Syakir menjelaskan, keputusan meletakkan syarat itu kerana Islam menggariskan adab yang perlu diamalkan setiap orang dalam mencari rezeki sama ada pekerja awam, swasta atau bekerja sendiri.
Katanya, meletakkan ketaatan dan kepercayaan kepada agama sebagai panduan bagi memastikan setiap pekerjaan dilakukan mendapat rezeki halal, berkat dan mendapat keredaan tuhan.
“Ini kepercayaan kami orang Islam. Sama juga dengan agama lain yang percaya fengshui dan sebagainya.
“Jadi, jika ada yang tak rasa selesa dengan keputusan ini, kami dari Klinik Pergigian Dental Republik memohon maaf namun kami tetap dengan pendirian kami dalam memilih pekerja,” katanya di Facebook.
Iklan kerja klinik pergigian itu tular di media sosial apabila meletakkan antara syarat hanya memilih orang Islam dan mereka yang menjaga solat untuk bekerja di premis berkenaan.
Tindakan itu mendapat kritikan apabila ada segelintir yang mempersoalkan adakah tahap agama seseorang perlu dijadikan ukuran bagi membolehkan diterima bekerja.