
Bekas perdana menteri itu berkata demikian ketika melaporkan situasi ekonomi di kawasannya, Langkawi, dalam kenyataan hari ini.
Katanya, walaupun Langkawi dikategorikan bebas Covid-19, namun kehadiran pelancong – penyumbang utama ekonomi bagi kawasan itu – semakin berkurangan berdasarkan kepada jumlah pesawat penerbangan yang tiba.
“Sebenarnya terdapat banyak cara dan cadangan untuk memperbaiki ekonomi Langkawi. Tetapi setakat ini kebenaran kerajaan tidak dapat diperolehi. Mungkin ia disebabkan wabak Covid-19,” katanya.
Walaupun beberapa bulan lalu terdapat peningkatan kemasukan pelancong tempatan, malangnya pertambahan mendadak kes Covid-19 membantutkan kedatangan pelancong, tambahnya.
“Peniaga merungut, banyak kedai ditutup, ada yang hanya sementara tetapi ada juga gulung tikar. Pusat pelancongan kelihatan sepi. Kereta sewa banyak tersadai kerana ketiadaan pelanggan. Restoran yang dulunya tumpuan pelancong juga sepi,” katanya.
Mahathir sedar menghapuskan Covid-19 akan mengambil masa yang lama, namun rakyat harus diberi peluang menjana pendapatan untuk menyara kehidupan masing-masing.
“Jika tidak negara akan mengalami kehancuran ekonomi. Mungkin ada sesiapa dalam kerajaan boleh dengar rintihan peniaga kecil seperti ini dan beri pertimbangan. Saya akan terus berikan idea lain jika ia dapat membantu,” katanya.