
Beliau berkata jawapan bertulis Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Takiyuddin Hassan berhubung dekriminalisasi undang-undang itu “sama” dengan jawapan yang beliau terima beberapa bulan lalu.
“Sejak mulanya pandemik ini dan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP), banyak pakar melaporkan peningkatan yang signifikan kes-kes kesihatan mental kerana mereka tidak dapat menyesuaikan diri dengan isolasi dan situasi ekonomi yang sukar ini.
“Sebanyak hampir 78 kes bunuh diri dilaporkan seluruh negara antara Mac dan Jun tahun ini, berbanding dengan 64 kes dalam tempoh yang sama tahun lalu,” kata Yii pada sidang media di Parlimen hari ini.

Takiyuddin, dalam jawapannya pada Isnin, berkata Jabatan Peguam Negara (AGC) masih menjalankan kajian tentang pemindaan Seksyen 309 dan 306 Kanun Keseksaan yang menghukum mereka yang cuba mengambil nyawa sendiri dan mereka yang bersubahat dalam cubaan membunuh diri.
Beliau berkata AGC sedang bermesyuarat dengan pemegang taruh ketika ini.
Yii berkata pihak berkuasa tidak boleh melayan pesakit yang cuba membunuh diri sebagai “penjenayah” tetapi perlu menyediakan bantuan.
“Saya menyeru kerajaan untuk menyegerakan pemansuhan pindaan ini kerana kes bunuh diri semakin meningkat,” katanya.
Beliau berkata tiada bukti menunjukkan jumlah kes percubaan bunuh diri akan meningkat apabila dekriminalisasi dibuat.
“Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan hampir 59 negara telah mengambil langkah untuk dekriminalisasi kes ini dan tidak menunjukkan peningkatan kes,” katanya.
Terdahulu, bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong, yang meninggal dunia baru-baru ini, berkata pada Disember lalu pindaan untuk dekriminalisasi bunuh akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada Jun.