Masih terlalu awal untuk sokong Belanjawan 2021, kata PH

Masih terlalu awal untuk sokong Belanjawan 2021, kata PH

Pertemuan pimpinan PH hari ini dengan Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz adalah langkah pertama ke arah menyokong Belanjawan 2021.

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution berkata, pertemuan dengan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz hari ini adalah proses ke arah menyokong Belanjawan 2021.
PUTRAJAYA:
Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail berkata, adalah terlalu awal untuk beliau menjawab sama ada pembangkang akan menyokong Belanjawan 2021 yang akan dibentang di Parlimen 6 Nov ini.

Beliau berkata, ini kerana pertemuan pimpinan Pakatan Harapan (PH) hari ini dengan Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz adalah langkah pertama ke arah itu.

“Hari ini adalah rundingan pertama. Menteri (Tengku Zafrul) juga menyatakan kesediaan untuk melanjutkan (perjumpaan) mengikut kesesuaian.

“Ia satu proses. Di pihak kita, kita sampaikan pandangan. Ini baru memulakan langkah. Jadi soalan itu terlalu ‘premature’ untuk jawab buat masa ini,” katanya kepada media selepas pertemuan di Kementerian Kewangan di sini, hari ini.

Sementara itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, terdapat 3 krisis yang berlaku dalam negara pada masa ini.

Katanya, 3 krisis itu iaah krisis kesihatan berkaitan Covid-19, krisis ekonomi dan krisis politik.

Guan Eng berkata, pertemuan dengan Tengku Zafrul hanya membincangkan 2 krisis, iaitu krisis kesihatan dan krisis ekonomi.

“Krisis politik kena bincang dengan orang lain,” katanya.

Terdahulu, beberapa orang pimpinan PH tiba di Kementerian Kewangan bagi menghadiri perbincangan dan rundingan berkenaan isi kandungan Belanjawan 2021 sebelum dibentangkan di Parlimen 6 Nov ini.

Antara pimpinan yang tiba di kementerian itu sejak jam 2.30 petang tadi ialah pemimpin PKR seperti Saifuddin, Wong Chen, Akmal Nasir dan Nik Nazmi Nik Ahmad.

Pimpinan DAP seperti Guan Eng, Ong Kian Ming dan Tony Pua juga hadir. Manakala pemimpin Amanah, iaitu Mohamad Sabu dan Dzulkefly Ahmad turut dilihat hadir.

Saifuddin berkata, secara khusus 6 cadangan dikemukakan kepada Zafrul berhubung Belanjawan 2021.

Antaranya kata beliau ialah cadangan menambah peruntukan Kementerian Kesihatan bagi menangani wabak Covid-19 dan penyakit tidak berjangkit.

Katanya, PH juga meminta kerajaan memperkasa perlindungan sosial untuk golongan berisiko.

PH juga mahu moratorium bayaran balik pinjaman bank dilanjutkan sehingga 31 Mac 2021 dan subsidi upah diteruskan sehingga 31 Mac 2021.

“Ini dengan mewujudkan 600,000 pekerjaan seperti program Malaysia@Kerja yang menyediakan insentif untuk tempoh 2 tahun kepada majikan dan pekerja bernilai RM13 bilion,” katanya.

Saifufdin berkata, PH mahu perbelanjaan untuk sektor pendidikan ditingkatkan bagi memastikan kelangsungan pendidikan negara.

Katanya, cadangan terakhir ialah mahu perbelanjaan pembangunan untuk 2 projek utama, iaitu, Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) dan menaik taraf infrastruktur air untuk negeri Selangor, Kelantan dan Pahang diteruskan.

“Kami berharap cadangan ini diterima dan dimasukkan ke dalam Belanjawan 2021 oleh Kementerian Kewangan.

“Kami juga menunggu langkah dan respons berikutnya daripada kerajaan berhubung proses rundingan ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.