Fail aduan jika rasa teraniaya, Nufam beritahu pekerja Malindo Air

Fail aduan jika rasa teraniaya, Nufam beritahu pekerja Malindo Air

Kakitangan Malindo Air mendakwa mereka hanya menerima RM4,000 sebagai pampasan.

Berikutan tekanan ekonomi susulan penularan wabak Covid-19, Malindo Air dilaporkan memberhentikan 2,000 daripada 3,000 kakitangannya untuk terus bertahan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kesatuan Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (Nufam) menggesa kakitangan syarikat penerbangan Malindo Air yang dibuang kerja membuat aduan berhubung isu itu dalam tempoh 60 hari.

Timbalan Setiausaha Agung Nufam, Shashi Kumar berkata, pihaknya menerima aduan yang mendakwa pampasan dan terma pembuangan pekerja syarikat itu tidak munasabah dan mereka berasa teraniaya.

“Kebanyakan aduan adalah daripada kru kabin yang menerima RM4,000 lebih sahaja. Adakah ini pampasan yang berpatutan dan bersifat berperi kemanusiaan?

“Ramai pekerja ini juga adalah golongan B40 yang masih mempunyai kontrak yang akan berakhir pada tahun 2024. Jadi dimanakah keadilan?,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shashi Kumar.

Beliau berkata, pihak kesatuan juga dimaklumkan ramai antara pekerja yang dibuang tidak menerima gaji sejak beberapa bulan lalu.

“Adakah ini cara yang adil jika aduan itu benar? Hutang gaji pekerja belum dibayar, tapi syarikat buang pekerja sebelum melangsaikan tunggakan gaji?,” soalnya.

Beliau berkata, pihaknya sudah membuat aduan kepada agensi pekerja di bawah Kementerian Sumber Manusia, namun sehingga kini tiada tindakan lanjut diambil.

Nufam juga mendesak siasatan terperinci dijalankan sekiranya pembuangan kerja syarikat penerbangan melanggar terma dan syarat kontrak.

Dalam pada itu beliau berkata, Malindo Air difahamkan menerima peruntukan sebanyak RM3 juta untuk membayar gaji pekerja yang dikehendaki bercuti, namun ramai antara mereka tidak menerimanya.

“Apa guna kerajaan beri peruntukan berjuta ringgit kepada syarikat, tetapi mereka masih buang pekerja.

“Ia menampakkan betapa lemahnya pemantauan dan syarikat seolah-olah terus menganiaya pekerja mereka,” katanya.

Ekoran tekanan ekonomi akibat pandemik Covid-19, industri penerbangan adalah antara sektor yang teruk terjejas dengan ribuan kakitangan dipaksa bercuti tanpa gaji.

Dalam perkembangan terbaharu, Malindo Air turut memberhentikan 2,000 daripada 3,000 kakitangannya semalam untuk terus bertahan.

Sejak semalam, media sosial seperti Twitter dibanjiri hantaran daripada kru kabin syarikat penerbangan itu dengan rata-rata mereka mengucapkan selamat tinggal kepada syarikat.

“Sudah tiba masanya saya mengucapkan selamat tinggal. Covid-19 memberi kesan besar kepada industri penerbangan.

“Susah untuk ucapkan selamat tinggal, namun saya perlu maju ke hadapan,” kata Rauf Yunus yang berkhidmat dengan Malindo Air selama 3 tahun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.