
Menteri Hal-Ehwal Sabah dan Sarawak Maximus Ongkili berkata, pas kerja sementara hanyalah langka jangka pendek bagi mengatasi masalah kekurangan pekerja, terutama di semenanjung.
“Dalam kes Sabah, perbincangan yang sedang berjalan antara Jabatan Hal Ehwal Sabah dan Sarawak di Jabatan Perdana Menteri dengan Kementerian Dalam Negeri adalah untuk mewujudkan jawatankuasa khas yang dicadangkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
“Ini bagi memastikan pengurusan dan natijah langkah itu menjadi sebahagian daripada strategi untuk mengurangkan kehadiran PATI di negeri Sabah.
“Selain itu, peningkatan kes jangkitan Covid-19 juga memberi kesan ke atas sektor perladangan dan pembinaan di Malaysia Timur,” katanya.
Terdahulu hari ini, Timbalan Ketua Menteri Jeffrey Kitingan berkata, cadangan itu hanya bertujuan mengatasi masalah kekurangan pekerja di semenanjung, bukan Sabah.
Semalam Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata, Putrajaya menimbangkan untuk mengeluarkan pas kerja sementara kepada PATI yang berada di negara ini berikutan kekurangan pekerja yang serius di ladang kelapa sawit dan getah.
Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli diminta mengkaji kaedah pelaksanaan yang sesuai tanpa menimbulkan masalah lain pada masa depan.
Ongkili berkata, banyak negeri terkesan teruk akibat wabak itu dan ramai pekerja meninggalkan pasaran buruh.
“Oleh sebab ramai PATI ditahan di pusat tahanan, dan di sesetengah negeri angkanya mengatasi jumlah yang ditetapkan, maka kerajaan kini menimbangkan langkah yang pernah diambil banyak kali sebelum ini.
“Ia merupakan satu bentuk pengaturan semula yang menyaksikan sektor swasta yang memerlukan pekerja asing boleh membuat permohonan untuk menggaji pekerja melalui Jabatan Imigresen dan Jabatan Buruh secara langsung dari pusat tahanan atau dari pasaran buruh domestik,” katanya.
Beliau berkata, ini dibolehkan dengan syarat mereka memenuhi prosedur dan syarat ketat yang ditetapkan oleh Kementerian Dalam Negeri.
Perbincangan terperinci antara Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Buruh dan kerajaan Sabah perlu diadakan sebelum langkah cadangan itu diperluaskan ke Sabah.
Ongkili, yang merupakan presiden PBS juga berkata, parti itu menggesa rakyat Sabah supaya tidak mempercayai khabar angin mengenai pas kerja sementara itu.
“PBS tidak berdepan masalah untuk menyokong tujuan murni program itu dengan syarat ia dilaksanakan mengikut undang-undang imigresen dan buruh, diurus dengan baik dan dilaksanakan secara telus.
“PBS juga akan memastikan pematuhan syarat ketat yang ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata, cadangan pas kerja sementara itu boleh membantu kerajaan memastikan PATI mendaftarkan diri semasa tempoh pengampunan.