Keluar simpanan KWSP: Kesatuan pekerja hotel sokong, MTUC minta kaji semula

Keluar simpanan KWSP: Kesatuan pekerja hotel sokong, MTUC minta kaji semula

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata, pencarum akan berdepan masalah besar pada masa akan datang jika kerajaan membenarkan wang daripada Akaun 1 KWSP dikeluarkan.

Persatuan pekerja tidak menolak bahawa wang daripada Akaun 1 KWSP membantu perekrja, terutama mereka yang hilang pekerjaan ketika pandemik Covid-19.
PETALING JAYA:
Dua persatuan mewakili pekerja berbeza pandangan mengenai cadangan membenarkan wang daripada Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dikeluarkan kerana rakyat terbeban dengan impak ekonomi akibat penularan wabak Covid-19.

Sebuah kesatuan mewakili pekerja hotel bersetuju dengan cadangan membenarkan wang daripada Akuan 1 KWSP dikeluarkan dengan berkata, mereka yang hilang pekerjaan sangat memerlukan wang itu.

Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja Hotel, Bar dan Restoran Semenanjung, Rusli Affandi berkata setakat ini, hampir 3,000 pekerja hotel di bawah kesatuan itu hilang pekerjaan.

“Mereka yang tidak ada kerja patut dibenarkan mengeluarkan wang daripada Akaun 1 KWSP. Ini kerana mereka yang hilang kerja, sehingga kini masih lagi tercari-cari kerja baru.

Rusli Affandi.

“Yang bekerja pun sukar untuk tampung perbelanjaan. Apatah lagi mereka yang hilang mata pencarian,” katanya kepada FMT.

Semalam, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengingatkan bahawa pencarum akan berdepan masalah besar pada masa akan datang jika kerajaan membenarkan wang daripada Akaun 1 KWSP dikeluarkan.

Beliau menyedari bahawa cadangan membolehkan pengeluaran wang Akaun 1 KWSP disebabkan rakyat terbeban dengan impak ekonomi susulan penularan wabak Covid-19.

Dalam pada itu, Rusli berkata, sekiranya kerajaan tidak membenarkan mengeluarkan wang daripada Akaun 1 KWSP, maka adakah kerajaan atau persatuan pekerja menggalakkan pekerja yang hilang mata pencarian itu membuat pinjaman daripada peminjam wang tanpa lesen atau Ah Long.

“Pandangan saya jika simpanan RM50,000 ke bawah had pengeluaran RM5,000 dan jika RM50,000 ke atas had pengeluaran RM10,000.

“elepas itu tiada lagi pengeluaran sehingga bersara. Ini bagi menjamin apabila bersara mereka masih ada lagi simpanan,” katanya.

Rusli mengakui pengeluaran wang daripada Akaun 1 KWSP memang ada baik dan buruknya.

Katanya, mereka yang beringat akan menggunakan untuk kehidupan seharian tetapi mereka yang gagal mengawal itu akan menghadapi bahaya.

Sementara itu, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) meminta kerajaan mengkaji semula cadangan pengeluaran Akaun 1 caruman KWSP dalam usaha meringankan beban pekerja yang tertekan ekoran penularan pandemik Covid-19.

Mohd Effendy Abdul Ghani.

Timbalan Presidennya, Mohd Effendy Abdul Ghani berkata, pengeluaran simpanan KWSP ada kebaikan dan keburukan.

“Isu pengeluaran bergantung kepada keperluan seseorang pekerja.

Pekerja berharap kerajaan memberi bantuan lain sebagai ganti pengeluaran KWSP,” katanya kepada FMT.

Effendy berkata, dalam keadaan sekarang, pekerja sangat tertekan dengan kehilangan pekerjaan dan kekurangan pendapatan ekoran pandemik Covid-19.

Katanya, ada kemungkinan pekerja terpaksa meminjam dengan institusi kewangan sehingga kepada Ah Long disebabkan kehidupan mereka semakin terhimpit dan tertekan.

“MTUC berpendapat, daripada mereka meminjam, adalah lebih baik kerajaan mempertimbangkan cadangan pengeluaran tersebut,” katanya.

Effendy berkata, MTUC juga sedar bahawa simpanan KWSP adalah untuk kegunaan hari tua.

Bagaimanapun katanya, adalah wajar diberikan pertimbangan pengeluaran secara “one-off” sahaja supaya pekerja boleh melalui kehidupan ke arah hari tua sebaik mungkin.

“MTUC menyerahkanya kepada kebijaksanaan perdana menteri dan pihak terlibat untuk mempertimbangkan kaedah yang sesuai memandangkan terdapat ‘demand’ yang tinggi dalam kalangan rakyat melalui petisyen awam lebih 15,000 orang yang bersetuju untuk pengeluaran Akaun 1 KWSP pekerja.

“MTUC memohon kepada perdana menteri dan kerajaan supaya mengadakan sesi dialog bersama untuk mendapatkan input bagi memperhalusi isu tersebut serta kaedah lain untuk membantu pekerja di negara ini,” katanya.

Abdul Halim Mansor.

Dalam pada itu, bekas presiden MTUC, Abdul Halim Mansor membantah cadangan membenarkan pengeluaran wang daripada Akaun 1 KWSP.

Beliau berkata, jika wang KWSP boleh dikeluarkan dan diguna, maka ia melanggar objektif untuk menyediakan simpanan persaraan pekerja swasta.

“Tiada jaminan wang KWSP yang terkumpul cukup untuk penyaraan seorang pekerja wanita yang jangkaan hayatnya 78 tahun dan pekerja lelaki 75 tahun.

“Simpanan KWSP sahaja yang bakal menanggung keperluan hari tua. Kalau wang pekerja dibenar guna, maka lebih ramai rakyat Malaysia di sektor swasta yang akan terus tiada apa-apa simpanan,” katanya.

Halim juga berkata, wang KWSP itu adalah untuk persediaan perbelanjaan harian dan perubatan pada hari tua.

Katanya, ini kerana pekerja swasta tidak menerima bantuan kerajaan walaupun telah bersara.

“Bantahan kongres pekerja itu ada asasnya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.