IMF terlalu optimistik berhubung lonjakan semula ekonomi pada 2021, kata pakar

IMF terlalu optimistik berhubung lonjakan semula ekonomi pada 2021, kata pakar

Kadar pertumbuhan 5-6% bagi tahun depan hanya dapat dicapai jika wabak Covid-19 berjaya dikawal dan sempadan negara dibuka semula.

Dua pakar ekonomi berkata, pandemik Covid-19 melemahkan perbelanjaan dan pendapatan perniagaan.
PETALING JAYA:
Pakar ekonomi tidak bersetuju dengan unjuran oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) bahawa ekonomi Malaysia akan melonjak semula pada 2021 dengan kadar pertumbuhan 7.8%.

IMF dalam laporan terbarunya mengenai unjuran ekonomi Asia Pasifik membuat ramalan itu selepas menyebut bahawa ekonomi Malaysia akan mengecut sebanyak 6% bagi baki tahun ini, lebih buruk daripada 3.8% yang diunjurkan oleh badan itu pada Jun.

Dua pakar ekonomi tempatan, yang bersetuju dengan semakan semula IMF bagi baki tahun ini, bagaimanapun berkata, unjurannya bagi tahun 2021 adalah “terlalu optimistik”.

Profesor ekonomi di Universiti Sunway Yeah Kim Leng berkata, kadar pertumbuhan 5-6% bagi tahun depan hanya dapat dicapai jika wabak Covid-19 berjaya dikawal dan sempadan negara dibuka semula.

Yeah Kim Leng.

“Jika tidak, ekonomi tidak akan berkembang melampaui kadar 1 atau 2%. Tempoh pemulihan lebih panjang mungkin diperlukan kerana wujudnya ketidakpastian mengenai wabak Covid-19,” katanya dengan merujuk kepada peningkatan semula kes jangkitan Covid-19.

Yeah berkata, langkah yang diamil bagi mengawal lonjakan semula kes Covid-19 membantutkan penggunaan, mengurangkan produktiviti dan pendapatan perniagaan, selain menghakis keyakinan pengguna serta perniagaan.

Ini katanya, mengakibatkan pengecutan perbelanjaan dan proses pemulihan yang lebih lemah.

Carmelo Ferlito dari Pusat Pendidikan Pasaran bersetuju dengan Yeah dengan berkata, lonjakan semula ekonomi hanya akan berlaku jika aktiviti perniagaan, pengembaraan dan pelancongan dibuka semula.

“Saya percaya kita akan menyaksikan peningkatan pengangguran dan pertambahan guna tenaga tidak penuh.

Carmelo Ferlito.

“Saya juga percaya sektor makanan dan minuman serta pelancongan akan membayar kos lebih tinggi berbanding keadaan yang sedia mereka hadapi sekarang.

“Bagaimanapun kesan buruknya akan turut dirasai oleh sektor pembuatan, terutama susulan langkah sekatan ke atas pengambilan pekerja asing,” katanya.

Ferlito menggesa kerajaan membenarkan syarikat perniagaan beroperasi sejauh mungkin tanpa prosedur mengelirukan yang melemahkan inisiatif ekonomi.

Beliau juga menggesa penggubalan strategi Asean berhubung pembukaan semula sempadan antarabangsa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.